fbpx

PUTRAJAYA: Kadar pengangguran pada Februari 2023 turun kepada 3.5 peratus, dengan 591,900 penganggur, demikian menurut perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kedudukan pasaran buruh negara terus stabil sejajar dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa.

Justeru, beliau berkata, bilangan tenaga buruh pada Februari 2023 berada pada trend menaik, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.78 juta orang berbanding Januari 2023 sebanyak 16.76 juta orang, merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi iaitu pada 69.9 peratus berbanding Januari 2023 sebanyak 69.8 peratus.

“Situasi yang menggalakkan itu adalah berikutan pertambahan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur menunjukkan trend penurunan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir selanjutnya berkata, pada Februari 2023, bilangan penduduk bekerja terus meningkat, merekodkan 16.19 juta orang, naik sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan berbanding 16.16 juta orang pada Januari 2023.

Sebaliknya, beliau berkata, bilangan penganggur pada Februari terus menunjukkan trend penurunan dengan pengurangan sebanyak 0.7 peratus kepada 591,900 orang berbanding 596,100 orang pada Januari 2023.

“Oleh itu, kadar pengganguran pada bulan itu turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 3.5 peratus berbanding 3.6 peratus pada Januari 2023,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, kategori pekerja meliputi 75.7 peratus, yang secara konsisten merangkumi komposisi terbesar penduduk bekerja pada Februari 2023.

Beliau berkata, kategori itu mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.25 juta orang berbanding 12.24 juta orang pada Januari 2023.

Katanya, penduduk bekerja sendiri turut mencatatkan kenaikan 0.5 peratus merekodkan 2.89 juta orang pada Februari 2023.

Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit; dan pentadbiran dan khidmat sokongan.

Pada masa yang sama, bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga menunjukkan trend yang sama.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan itu, Mohd Uzir berkata, mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 80.3 peratus daripada jumlah penganggur pada Februari 2023.

Beliau berkata, bilangan dalam kategori itu berkurang sebanyak 1.3 peratus merekodkan 475,500 orang berbanding 481,600 orang pada Januari 2023.

Katanya, daripada jumlah penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.0 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah 6.3 peratus.

Manakala, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia, meningkat 1.7 peratus kepada 116,400 orang.

Pada bulan itu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 mata peratus kepada 11.3 peratus, iaitu seramai 320,800 orang.

Sementara itu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun kekal pada kadar 7.0 peratus, mencatatkan 450,200 penganggur.

Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Februari 2023 terus berkurang sedikit iaitu sebanyak 0.02 peratus kepada 7.24 juta orang.

Antara sebab utama mereka yang berada di luar tenaga buruh adalah kerja rumah/ tanggungjawab keluarga (43.2 peratus), diikuti oleh bersekolah/ latihan dengan 40.6 peratus.

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan dalam semua sektor ekonomi dan keperluan kepada lebih ramai pekerja bagi menyokong permintaan domestik yang tinggi akan mendorong kepada peningkatan dalam permintaan buruh.

Justeru, beliau berkata, momentum pemulihan pasaran buruh dijangka berterusan sejajar dengan jangkaan trend pertumbuhan ekonomi negara, yang kekal menggalakkan pada 2023.

“Oleh itu, pasaran buruh juga dijangka meneruskan momentum pertumbuhan yang stabil pada bulan-bulan berikutnya, selari dengan prestasi ekonomi semasa,” katanya.

Sumber : Berita Harian
Link : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/04/1088187/jumlah-penganggur-semakin-berkurangan-seiring-aktiviti-ekonomi?fbclid=IwAR1jLEqEIQ320w-Ne2_hqV7Fr-tcXpDAp6GKgrd28lmkgNFZEXAbWJE4h-c

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *