Pusat Mediasi Covid-19

Pusat Mediasi COVID-19 (PMC-19) ditubuhkan oleh Kerajaan bagi membantu orang awam dalam menyelesaikan pertikaian yang berbangkit daripada ketidakupayaan untuk melaksanakan apa-apa obligasi kontraktual yang timbul daripada mana-mana kategori kontrak dalam Jadual [Seksyen 7] Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 [Akta 829] yang disebabkan oleh langkah-langkah yang ditetapkan, dibuat atau diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] untuk mengawal atau mencegah merebaknya COVID-19. Nilai pertikaian untuk proses mediasi di bawah PMC-19 hendaklah tidak melebihi RM500,000.00, melainkan pertikaian dibawah sektor pembinaan.

Apakah itu mediasi?
Mediasi atau pengantaraan merupakan suatu kaedah penyelesaian pertikaian secara alternatif yang diiktiraf oleh perundangan di Malaysia di bawah Akta Pengantaraan 2012 [Akta 749]. Mediasi memudahkan pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian menyelesaikan pertikaian di antara mereka secara baik, cepat dan berkesan tanpa melalui proses Mahkamah.

Bagaimanakah proses mediasi berlangsung?
Mediasi merupakan suatu proses perundingan yang dijalankan secara sukarela dan dimudahcara oleh pihak ketiga iaitu Mediator. Apabila pihak-pihak bertikai mencapai suatu persetujuan dalam sesi mediasi, suatu Perjanjian Penyelesaian hendaklah dibuat secara bertulis, ditandatangani dan akan mengikat pihak-pihak.

Apakah peranan mediator dalam proses mediasi?
Mediator berperanan untuk memudah cara serta membantu pihak-pihak yang bertikai untuk mencapai persetujuan dan menyelesaikan pertikaian secara baik, bebas dan tidak berat sebelah. Mediator bertindak sebagai pihak yang berkecuali dan tidak menyebelahi mana-mana pihak bertikai dalam proses mediasi ini.

Apakah kelebihan proses mediasi?
Proses mediasi menyelesaikan pertikaian secara baik dalam tempoh masa yang singkat tanpa melibatkan apa-apa proses mahkamah.
Proses mediasi dilaksanakan dengan bantuan mediator sebagai pihak ketiga yang neutral.
Mediasi menyediakan mekanisme menang-menang (win-win situation) kepada pihak-pihak yang terlibat.
Apakah akta-akta berkaitan mediasi di Malaysia?
Mediasi di Malaysia diperuntukkan di bawah Akta Pengantaraan 2012 [Akta 749].

Adakah mediasi di bawah PMC-19 tertakluk kepada Akta Pengantaraan 2012?
Tidak, ia tertakluk di bawah peruntukan di dalam Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 [Akta 829].

Ingin ketahui lebih lanjut mengenai PMC19?

Sekretariat DEWAN MELAYU sedia membantu anda. Hubungi kami di talian 03-2633 2233 atau emelkan kepada adubisnescovid19@dpmm.org.my