
11 MAC 2026 – Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon bersama menyertai delegasi National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia (NCCIM) dalam kunjungan hormat kepada YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Selasa, 10 Mac. Delegasi NCCIM yang diketuai oleh Presidennya, Dato’ Seri N. Gobalakrishnan bersama barisan Ahli EXCO telah membincangkan pelbagai isu serta cabaran semasa yang dihadapi oleh komuniti perniagaan di Malaysia.
Dalam sesi tersebut, pelbagai pandangan telah dikongsi bagi memperkukuh daya saing ekonomi negara, di samping menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara MITI dan NCCIM dalam merangka dasar serta inisiatif yang menyokong pertumbuhan perniagaan dan pembangunan ekonomi negara.
DPMM menyambut baik pendekatan keterbukaan pihak kementerian yang mencadangkan agar sesi libat urus yang lebih fokus bersama pemain industri diadakan bagi membincangkan isu-isu sektor tertentu secara lebih mendalam. DPMM juga menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat melalui platform NCCIM bagi memastikan suara dan kepentingan komuniti perniagaan, khususnya usahawan Bumiputera, terus diangkat dalam pembentukan dasar perdagangan dan ekonomi negara.