
10 November 2026 | Pejabat NCCIM, Kuala Lumpur
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) merangkap Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), YBhg. Tuan Norsyahrin bin Hamidon, hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Kedutaan Negara Libya ke Malaysia yang diketuai oleh Tuan Yang Terutama (TYT) H.E. Mr. Mohammed Attia, Duta Besar Libya ke Malaysia.
Kunjungan ini menjadi platform untuk memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Libya.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk jemputan kepada pihak Malaysia untuk menyertai Pameran Antarabangsa Tripoli Ke-53 (53rd Tripoli International Fair), penerokaan peluang memeterai perjanjian kerjasama dua hala, penganjuran bengkel perniagaan bersama serta usaha menghubungkan syarikat dan pelabur Malaysia dengan peluang pelaburan di Libya.
Perbincangan turut menyentuh potensi lawatan ke Misrata Free Economic Zone bagi meneliti peluang perniagaan, perdagangan dan pelaburan yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat Malaysia.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Naib Presiden NCCIM, En. Dzahir Jamudin; Bendahari NCCIM, Dato’ Lim Si Boon; ahli Majlis Am NCCIM, Datuk Mohd Zayad bin Md Ismail dan En. Kelvin Kee; serta Pengurus Besar NCCIM, Puan Sharada Krishnan.
Turut hadir mewakili DPMM ialah Setiausaha Agung, En. Muhammad Faizal Abdul Razak.
Delegasi Libya turut disertai oleh Tuan Yang Terutama H.E. Mr. Mohammed Attia, Duta Besar Libya ke Malaysia; Mr. Abujela Ramadan, Minister Plenipotentiary; Mr. Monder Atiya, Ketua Jabatan Kerjasama dan Hal Ehwal Ekonomi Kedutaan Libya; serta wakil Libyan Malaysian Joint Business Chamber (LMBC).
DPMM dan NCCIM komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, membuka akses pasaran baharu serta mewujudkan lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan yang memberi manfaat kepada komuniti perniagaan Malaysia, khususnya usahawan tempatan.
DPMM | Memperkasa Usahawan, Memacu Ekonomi Bangsa