6 November 2026 | Kuala Lumpur
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) yang diketuai oleh YBhg. En. Mansor Shah Wahid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport), MATRADE.
Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik serta meneroka ruang kerjasama antara DPMM dan MATRADE dalam memperkasakan usahawan tempatan, khususnya usahawan Bumiputera, untuk menembusi pasaran antarabangsa dan mengembangkan perniagaan ke peringkat global.
Antara fokus perbincangan adalah usaha memperluas peluang eksport, meningkatkan kesiapsiagaan syarikat tempatan untuk bersaing di pasaran luar negara serta membuka lebih banyak akses kepada jaringan perdagangan dan peluang perniagaan antarabangsa.
DPMM melihat kerjasama strategik bersama MATRADE sebagai satu langkah penting dalam membina ekosistem keusahawanan yang lebih berdaya saing, sekali gus membantu lebih banyak syarikat Bumiputera beralih daripada pemain pasaran domestik kepada peneraju di peringkat antarabangsa.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden DPMM, En. Dzahir Jamudin; Setiausaha Agung, En. Faizal Abdul Razak; Naib Presiden, En. Yusri bin Yusof; Bendahari Agung, Hj. Hamzah Paravil; Yang Dipertua DPMM Negeri Sembilan, En. Kamaruzaman; Ahli Majlis Eksekutif DPMM, En. Zulkarnain dan En. Fahmi Yaacob serta ahli-ahli DPMM Kuala Lumpur.
DPMM komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan rakan industri bagi memastikan lebih banyak usahawan Bumiputera berpeluang berkembang, menembusi pasaran baharu dan mengangkat jenama Malaysia ke persada dunia.