6 November 2026 | Anjung Melayu, Kuala Lumpur
Dialog Strategik DPMM Belanjawan 2027 bertemakan “Memperkasa Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan Ekonomi Bumiputera” telah berlangsung dengan jayanya hari ini, anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Sesi dialog ini membuka ruang perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai kedudukan fiskal negara, prospek ekonomi serta keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2027 dalam memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh, khususnya oleh usahawan Bumiputera.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk akses pembiayaan, kecukupan peruntukan pembangunan, isu kelewatan bayaran projek, gaji minimum, persaingan perniagaan serta cabaran yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
DPMM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, atas kesudian meluangkan masa, berkongsi pandangan serta memberikan kupasan dan perspektif ekonomi yang bermanfaat dalam sesi dialog ini.
Penghargaan turut diberikan kepada Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon serta semua ahli dan peserta yang telah memberikan pandangan dan menyumbang kepada perbincangan.
DPMM percaya bahawa suara dan pandangan komuniti perniagaan perlu terus dibawa ke meja pembuat dasar agar setiap dasar ekonomi yang dirangka bukan sahaja baik di atas kertas, malah mampu diterjemahkan kepada peluang sebenar, pertumbuhan perniagaan dan peningkatan pemilikan ekonomi Bumiputera.
Bukan sekadar memahami belanjawan, tetapi memastikan setiap peruntukan dan dasar membuka lebih banyak peluang untuk usahawan Bumiputera berkembang, bersaing dan menguasai ekonomi negara.