
KUALA LUMPUR, 16 OKTOBER 2026 – Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin bin Hamidon, telah menerima kunjungan hormat delegasi Kadin Dumai (Dumai Chamber of Commerce and Industry) di Anjung Melayu, Kuala Lumpur, bagi membincangkan potensi kerjasama perdagangan, pelaburan dan jaringan perniagaan antara Malaysia dan Indonesia.
Turut hadir ialah Naib Presiden DPMM merangkap Yang Dipertua DPMM Negeri Selangor, Ar. IDr. Haji Mohd Azli; Yang Dipertua DPMM Negeri Sembilan, En. Kamaruzaman; Ahli Majlis Eksekutif DPMM, En. Zulkarnaian dan En. Ahmad Fahmy, serta ahli-ahli DPMM dari Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah jemputan kepada DPMM untuk menyertai Riau Expo 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 15 dan 16 Disember 2026 di Pekanbaru, Riau, Indonesia. Ekspo ini membuka peluang kepada usahawan untuk meneroka pasaran baharu serta membina jaringan perniagaan dalam sektor pertanian, pelancongan, pemprosesan makanan dan logistik.
Perbincangan turut menyentuh potensi Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) sebagai platform kerjasama ekonomi serantau bagi memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan pembangunan sektor swasta.
Dalam sesi tersebut, DPMM turut berkongsi inisiatif Gerakan Ekoniaga MADANI (GEMA) serta memperkenalkan 10 Pilar Konsortium DPMM sebagai usaha memperluas jaringan strategik dan membuka peluang kerjasama antara pemain industri Malaysia dan Indonesia.
Kunjungan ini diharap menjadi asas kepada hubungan yang lebih erat antara DPMM dan Kadin Dumai, khususnya dalam memperluas akses pasaran, menggalakkan perdagangan rentas sempadan dan mewujudkan peluang perniagaan yang memberi manfaat kepada usahawan kedua-dua negara.
DPMM komited untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama serantau serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan Bumiputera untuk berkembang ke pasaran antarabangsa.