
KUALA LUMPUR, 7 Julai 2026 – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan Program Pengakuan Sukarela e-Invois sehingga 31 Disember 2027, yang disifatkan sebagai satu langkah proaktif dan pragmatik dalam memastikan pelaksanaan sistem e-Invois berjalan secara lebih teratur, inklusif serta mesra perniagaan.
DPMM berpandangan bahawa keputusan kerajaan untuk tidak mengenakan penalti terhadap pembayar cukai yang membuat semakan, pembetulan atau kemas kini e-Invois secara sukarela sepanjang tempoh tersebut membuktikan kesediaan Kerajaan MADANI mendengar pandangan komuniti perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang memerlukan tempoh penyesuaian bagi melaksanakan transformasi digital dalam pengurusan percukaian.
Selain Program Pengakuan Sukarela, DPMM turut menghargai langkah kerajaan mempercepatkan tuntutan elaun modal bagi perbelanjaan berkaitan pelaksanaan e-Invois kepada tempoh satu tahun serta keputusan menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta setahun. Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada lebih sejuta pembayar cukai dan membantu mengurangkan beban pematuhan dalam kalangan usahawan kecil.
Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon, berkata langkah yang diumumkan kerajaan merupakan satu keputusan yang tepat pada masanya dan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan agenda pendigitalan negara dilaksanakan tanpa membebankan komuniti perniagaan.
“DPMM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas pendekatan yang lebih fleksibel dan berpaksikan realiti dunia perniagaan. Program Pengakuan Sukarela e-Invois memberikan keyakinan kepada usahawan untuk melaksanakan sistem baharu ini secara lebih tersusun tanpa kebimbangan dikenakan tindakan penalti sepanjang tempoh penyesuaian.”
Beliau berkata, pelaksanaan e-Invois merupakan satu pembaharuan penting dalam usaha meningkatkan ketelusan, kecekapan serta integriti sistem percukaian negara, namun kejayaannya bergantung kepada tahap kesiapsiagaan perusahaan, khususnya PMKS yang merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia.
“Transformasi digital bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Namun, pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan usahawan dari segi kos, pengetahuan, infrastruktur digital dan tenaga kerja. Oleh itu, insentif serta kelonggaran yang diumumkan kerajaan akan memberi ruang kepada PMKS untuk membuat persediaan yang lebih rapi sebelum pelaksanaan sepenuhnya.”
Sehubungan itu, DPMM komited untuk terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan dengan mempergiatkan program kesedaran, advokasi, latihan dan pembangunan kapasiti berkaitan e-Invois kepada usahawan Melayu dan Bumiputera di seluruh negara.
Melalui rangkaian cawangan DPMM di seluruh Malaysia, pelbagai program penerangan, bengkel, seminar dan sesi libat urus akan terus diperkasakan bagi memastikan ahli-ahli DPMM serta komuniti PMKS memperoleh kefahaman yang menyeluruh mengenai pelaksanaan e-Invois, sekali gus meningkatkan tahap pematuhan dan kesiapsiagaan mereka.
DPMM turut berharap kerajaan akan meneruskan sesi libat urus secara berkala bersama dewan-dewan perniagaan, persatuan industri dan pemain industri supaya sebarang cabaran pelaksanaan dapat dikenal pasti serta diselesaikan secara konstruktif. Pendekatan kolaboratif seperti ini diyakini akan memperkukuh keyakinan sektor swasta terhadap dasar kerajaan dan mempercepatkan proses pendigitalan ekonomi negara.
Dalam masa yang sama, DPMM menyeru para usahawan supaya memanfaatkan tempoh Program Pengakuan Sukarela ini untuk meningkatkan pengetahuan, menambah baik sistem perakaunan, mendapatkan khidmat nasihat profesional serta melaksanakan penyesuaian operasi syarikat masing-masing. Tempoh yang diberikan kerajaan wajar dilihat sebagai peluang untuk memperkukuhkan tadbir urus perniagaan dan meningkatkan daya saing dalam ekonomi digital.
DPMM percaya bahawa gabungan dasar kerajaan yang responsif, sokongan institusi, kerjasama sektor swasta serta kesiapsiagaan komuniti perniagaan akan memastikan pelaksanaan e-Invois mencapai objektifnya, sekali gus memperkukuh ekosistem perniagaan yang lebih telus, berdaya tahan dan mampan demi kemajuan ekonomi negara.
Mengenai Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM)
Ditubuhkan pada tahun 1938, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) merupakan dewan perniagaan Melayu tertua di Malaysia yang mewakili kepentingan usahawan Melayu dan Bumiputera di seluruh negara. DPMM komited memperkukuh pembangunan keusahawanan, memperluaskan jaringan perniagaan, memperkasakan transformasi digital serta menjadi rakan strategik kerajaan dalam merangka dasar dan inisiatif yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Dikeluarkan oleh:
Sekretariat
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM)
7 Julai 2026