DPMM & MENTERI KUSKOP
KUNJUNGAN HORMAT DPMM KE KUSKOP PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK PEMERKASAAN USAHAWAN BUMIPUTERA
PUTRAJAYA, 22 JANUARI 2026 – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan seterusnya berpeluang mengadakan pertemuan rasmi bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Tuan Steven Sim Chee Keong.
Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara DPMM dan KUSKOP, di samping membuka ruang perbincangan dua hala yang lebih konstruktif berkaitan usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan Bumiputera secara lebih terselaras, berimpak tinggi dan mampan selari dengan aspirasi pembangunan ekonomi negara.
Dalam sesi pertemuan tersebut, delegasi DPMM telah memberikan penerangan menyeluruh mengenai sejarah penubuhan, peranan serta mandat DPMM sebagai antara Dewan Perniagaan Bumiputera tertua di Malaysia yang sejak penubuhannya konsisten memperjuangkan kepentingan ekonomi dan perniagaan masyarakat Bumiputera di peringkat nasional. Perbincangan turut memfokuskan kepada potensi kerjasama strategik antara DPMM dan KUSKOP, khususnya dalam merangka pendekatan intervensi berfokus bagi menangani cabaran sebenar yang dihadapi oleh usahawan Bumiputera di peringkat lapangan.
Sehubungan itu, DPMM telah membentangkan secara terperinci inisiatif Gerakan Ekoniaga Madani (GEMA), iaitu sebuah platform bersepadu yang dibangunkan bagi memperkukuh keupayaan, daya tahan serta kelangsungan perniagaan usahawan Bumiputera.
YB Menteri, Steven Sim Chee Keong, turut merakamkan penghargaan dan memuji pelaksanaan program GEMA DPMM yang berteraskan kerangka Ekonomi Madani dan PUTERA35, khususnya penubuhan 10 Konsortium Usahawan DPMM yang dilihat berupaya membantu usahawan Bumiputera mengakses peluang projek berskala lebih besar serta memperkukuh daya saing kolektif mereka.
DPMM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ketua Setiausaha KUSKOP serta Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia atas kesudian menerima kunjungan hormat ini. DPMM menzahirkan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan KUSKOP dalam merangka dan melaksanakan inisiatif bersama yang lebih strategik dan berimpak.