GERAKAN EKONIAGA MADANI (GEMA) AI : NUSANTARA DIGITAL AI PRODUCTIVITY & INNOVATION 2025
19 Disember 2025 – Program GERAKAN EKONIAGA MADANI (GEMA) AI, anjuran bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), telah melabuhkan tirainya semalam dengan kejayaan membanggakan. Program ini berjaya menghimpunkan lebih 300 peserta merangkumi pelbagai sektor industri yang hadir bagi memperkukuh kefahaman dan penguasaan terhadap aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam landskap perniagaan semasa.
Program ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi MATRADE. Penganjuran GEMA AI mencerminkan inisiatif strategik DPMM dalam memperkenalkan teknologi AI sebagai pemacu utama kepada peningkatan kecekapan operasi, produktiviti serta daya saing perniagaan, selari dengan aspirasi pembangunan ekonomi negara.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada rakan kolaborasi strategik iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Malaysia Productivity Corporation (MPC) dan MIMOS Berhad atas sokongan padu dalam menjayakan penganjuran program ini, program ini juga turut disokong kuat oleh Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE).
Program semalam juga turut menyaksikan pengumuman rakan strategik Program GERAKAN EKONIAGA MADANI (GEMA) bagi tahun hadapan, iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan PETRONAS. Kerjasama strategik ini bakal memperkukuh pelaksanaan Jelajah GEMA yang akan bermula pada tahun hadapan, merangkumi pelbagai inisiatif, program dan sesi bimbingan berterusan bagi memperkasa usahawan di seluruh negara.
DPMM merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta yang telah hadir dan memberikan komitmen penuh sepanjang program berlangsung. Diharapkan segala ilmu, perkongsian dan pendedahan yang diperoleh mampu dimanfaatkan sebaiknya dalam melonjakkan prestasi perniagaan serta memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.