Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) melihat perlunya tindakan lebih tuntas dalam menyokong usahawan Bumiputera dan perusahaan kecil dan sederhana (PMKS). Walaupun Bajet 2025 mengumumkan pelbagai bentuk bantuan keusahawanan melalui institusi kewangan dan agensi kerajaan, beberapa cabaran terus membelenggu usahawan Bumiputera:
Masalah yang Dikenalpasti:
1.Maklumat Tidak Sampai ke Usahawan:
Pelbagai program dan bantuan diumumkan setiap tahun, namun ramai usahawan Bumiputera tidak mendapat maklumat yang tepat atau mencukupi mengenai bantuan yang tersedia. Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan ramai yang terlepas peluang untuk memohon atau menerima bantuan tersebut.
2.Tidak Layak untuk Pinjaman atau Geran:
Ramai usahawan Bumiputera mendapati diri mereka tidak layak untuk memohon geran atau pinjaman boleh ubah yang ditawarkan oleh institusi kewangan dan agensi pemberi dana. Kriteria kelayakan seringkali menyekat akses kepada bantuan kewangan yang diperlukan.
3.Tiada Pemantauan Selepas Bantuan Diterima:
DPMM mendapati bahawa tiada mekanisme pemantauan yang berkesan untuk memastikan usahawan yang telah menerima bantuan atau pembiayaan benar-benar memanfaatkannya secara produktif. Hal ini menyebabkan pelbagai usaha kerajaan gagal mencapai hasil yang diingini.
4.Ketiadaan Sokongan Berstruktur untuk Langkah Seterusnya:
Bantuan yang diterima oleh usahawan sering kali bersifat sementara dan tidak berstruktur. Tiada rangka sokongan menyeluruh yang dapat membantu usahawan membina perniagaan secara berperingkat (step-up) dengan panduan dan sokongan yang berterusan.
Cadangan Penyelesaian: Pusat Sehenti Keusahawanan Bumiputera:
DPMM telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan Pusat Sehenti (One Stop Center) bagi PMKS Bumiputera sejak 2018. Kini, lebih jelas keperluannya dalam Bajet 2025, di mana banyak institusi kewangan dan agensi bantuan disenaraikan, namun beroperasi secara berasingan dan tidak digerakkan ke arah mencapai matlamat bersama dengan hasil yang jelas.
Pusat Sehenti ini boleh menjadi tempat di mana usahawan Bumiputera bukan sahaja mendapatkan bantuan kewangan, tetapi juga menerima khidmat nasihat dan bimbingan dalam pelbagai aspek seperti:
• Perundangan dan sekretariat perniagaan
• Pemasaran dan penjenamaan
• Audit dan perakaunan
• Sokongan teknologi dan digitalisasi
• Latihan mentoring P2P (peer-to-peer)
• Akses pasaran antarabangsa serta kesediaan untuk CPTPP
• Kesediaan Halal untuk perniagaan yang ingin berkembang dalam industri halal
Perbandingan Bajet 2024 dan 2025: Sokongan untuk Usahawan Bumiputera dan PMKS:
1.Sokongan kepada Usahawan Bumiputera:
Bajet 2024 memperuntukkan RM1.6 bilion untuk pinjaman dan jaminan bagi usahawan Bumiputera. Dalam Bajet 2025, jumlah ini dikurangkan kepada RM1.3 bilion yang dikhususkan kepada kontraktor Bumiputera G1-G4, dengan tambahan RM800 juta disediakan oleh MARA dan PUNB. Walaupun terdapat pengurangan dalam jumlah keseluruhan, penekanan lebih diberikan kepada sektor pembinaan dan kontraktor.
2.Pinjaman dan Jaminan bagi PMKS:
Dalam Bajet 2024, RM20 bilion diperuntukkan bagi jaminan pembiayaan kepada PMKS. Bajet 2025 mengekalkan jumlah ini, namun memperuntukkan RM5 bilion secara khusus untuk PMKS Bumiputera. Ini menunjukkan peningkatan fokus kepada keperluan Bumiputera dalam sektor keusahawanan, namun cabaran kekal dalam memastikan mereka layak dan dapat mengakses bantuan ini.
Penutup:
DPMM percaya bahawa penubuhan Pusat Sehenti akan memastikan pengaliran maklumat, akses bantuan yang lebih meluas, serta sokongan berstruktur kepada usahawan Bumiputera, sekali gus mengatasi kelemahan yang dihadapi selama ini. Kami menyeru agar kerajaan mengambil langkah segera dalam menjadikan pusat ini realiti, dan kami bersedia untuk bekerjasama dalam memastikan kejayaan usahawan Bumiputera di Malaysia.
Bagi Pihak DPMM
AHMAD YAZID BIN OTHMAN
Setiausaha Agung