Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 bermula Februari 2025. Kami memahami bahawa langkah ini dibuat untuk meningkatkan taraf hidup pekerja dan merapatkan jurang pendapatan, sejajar dengan prinsip MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat. DPMM menyokong penuh usaha kerajaan dalam memastikan gaji yang lebih adil bagi pekerja, terutama mereka dalam golongan berpendapatan rendah.
DPMM melihat dengan perlaksanaan gaji minimum sebanyak RM 1700 yang diumumkan dalam belanjawan mempunyai potensi untuk meningkatkan kuasa beli pekerja untuk dibelanjakan bagi keperluan asas seperti makanan, perumahan, pendidikan dan perkhidmatan. Peningkatan dalam kuasa beli ini boleh memacu permintaan barangan dan perkhidmatan yang mampu menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
DPMM juga berpandangan bahawa dengan kuasa beli yang lebih tinggi, pekerja bukan sahaja akan mempunyai kemampuan untuk memenuhi keperluan asas mereka, tetapi juga boleh menyimpan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk pelaburan sebagai persediaan kewangan jangka masa panjang.
Namun begitu, kenaikan gaji minimum ini juga membawa cabaran besar, khususnya kepada Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) Bumiputera. PMKS Bumiputera yang merangkumi sebahagian besar ekosistem perniagaan negara akan berdepan dengan peningkatan kos operasi yang ketara, terutamanya dalam sektor yang sangat bergantung kepada tenaga kerja.
Kesan Terhadap PMKS Bumiputera:
1.Tekanan Kos Operasi:
Kenaikan gaji minimum secara langsung meningkatkan kos operasi bagi PMKS yang majoritinya bergantung kepada tenaga kerja tempatan. Ini akan membebankan perniagaan kecil yang sedang cuba pulih daripada kesan ekonomi pandemik dan cabaran inflasi semasa. Tanpa pelarasan yang sewajarnya, PMKS Bumiputera berisiko menghadapi masalah aliran tunai dan penurunan daya saing dalam pasaran tempatan.
- Keperluan Penyesuaian Masa:
Usahawan PMKS Bumiputera memerlukan masa tambahan untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan gaji minimum ini. Penyesuaian kos kontrak juga perlu dilakukan bagi memastikan kenaikan kos buruh dapat diserap tanpa menyebabkan kerugian besar kepada perniagaan kecil. Tanpa masa yang cukup, PMKS berisiko untuk gagal bersaing dan mengekalkan keuntungan. - Cabaran Mendapat Pembiayaan:
Dalam konteks Bumiputera, ramai usahawan mikro dan kecil menghadapi kesukaran untuk mendapatkan akses kepada pinjaman formal. Peralihan daripada sistem geran kepada pinjaman turut menambah cabaran kepada mereka, terutamanya dalam memastikan kemampuan mereka untuk membayar kos gaji yang lebih tinggi.
Cadangan DPMM untuk Kerajaan: - Penyelarasan Harga Kontrak:
Kerajaan perlu menyelaraskan harga kontrak bagi usahawan Bumiputera yang terlibat dalam projek-projek kerajaan agar selari dengan kenaikan kos buruh. Ini penting bagi memastikan PMKS yang berkhidmat kepada kerajaan dapat menampung kenaikan gaji tanpa perlu menambah hutang atau menanggung kerugian. - Pakej Bantuan Kewangan Khusus untuk PMKS Bumiputera:
DPMM mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan pakej bantuan kewangan khas untuk PMKS Bumiputera dalam bentuk insentif atau subsidi sementara bagi membantu mereka menghadapi kenaikan kos buruh. Pakej ini boleh disasarkan kepada PMKS yang menghadapi cabaran kewangan untuk mengekalkan operasi dan mengurangkan risiko penutupan perniagaan. - Mekanisme Subsidi Upah Bersasar:
Kerajaan perlu memperkenalkan subsidi upah bersasar yang fokus kepada industri kecil dan sederhana yang paling terkesan oleh kenaikan gaji minimum. Subsidi ini akan membantu menampung sebahagian kos gaji pekerja, terutamanya bagi perniagaan yang bergantung kepada tenaga kerja yang besar seperti dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan. - Sokongan dan Latihan Digitalisasi:
DPMM turut mencadangkan agar kerajaan memperhebatkan usaha digitalisasi untuk PMKS Bumiputera bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja fizikal. Dengan lebih banyak sokongan dalam aspek teknologi, PMKS dapat mengekalkan daya saing walaupun kos buruh meningkat
Penutup:
DPMM menyokong sepenuhnya matlamat kerajaan dalam memastikan pendapatan pekerja yang lebih adil melalui kenaikan gaji minimum. Namun, kerajaan perlu menyediakan sokongan tambahan yang sewajarnya kepada PMKS Bumiputera untuk memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan mereka. Kami bersedia untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan dasar ini dilaksanakan dengan baik, sambil memelihara kepentingan usahawan Bumiputera di seluruh negara.