


Kuala Lumpur, 29 November 2024 – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah menerima kunjungan hormat daripada Sa’adah Global, sebuah syarikat terkemuka yang berpangkalan di Indonesia, di ibu pejabat DPMM, Anjung Melayu, Kuala Lumpur, semalam. Pertemuan ini melibatkan perbincangan strategik bagi meneroka potensi kerjasama dalam memperkukuhkan hubungan perniagaan antara Malaysia dan Indonesia.
DPMM diwakili Chaq Hisham , Pengerusi Dewan Muda, bersama beberapa wakil kanan DPMM, manakala Sa’adah Global diwakili oleh En. Soffian, Ketua Pegawai Eksekutifnya, yang memiliki kepakaran mendalam dalam ekosistem perniagaan dan sektor kerajaan di Indonesia. Turut hadir ialah Bapak Roes Ediarto, seorang lagi wakil penting Sa’adah Global.
Pertemuan ini bertujuan untuk:
-Menghubungkan usahawan Malaysia dengan pasaran Indonesia, khususnya dalam sektor ekonomi halal yang berkembang pesat.
-Menawarkan perkhidmatan khidmat nasihat bagi memperkukuhkan kerjasama ekonomi dan keusahawanan antara kedua-dua negara.
Sa’adah Global, sebagai perintis ekosistem halal dan syariah di Indonesia, menyediakan perkhidmatan menyeluruh termasuk pendidikan dan pensijilan halal, keselamatan makanan, pelaburan antarabangsa, teknologi maklumat, dan rantaian bekalan. Misi mereka adalah untuk menjadi rakan kongsi dipercayai dalam menyokong pembangunan mampan dan kejayaan industri halal di peringkat global.
DPMM melihat kunjungan ini sebagai langkah strategik untuk memperluaskan peluang kepada ahli-ahlinya dalam meneroka pasaran Indonesia, yang merupakan ekonomi terbesar di Asia Tenggara.
DPMM merakamkan penghargaan kepada En. Soffian dan Bapak Roes Ediarto atas kunjungan mereka dan percaya bahawa kerjasama ini akan membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif yang dapat memanfaatkan usahawan Bumiputera, khususnya ahli DPMM.
#MalaysiaMadani#BerjasaBerjayaBangsa#bisnesbangkit#PerniagaanBerkembang#motivasiusahawan#dpmm#dewanmudadpmm