fbpx

1.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) memandang serius peningkatan aktiviti pencerobohan dan provokasi oleh kapal-kapal pengawal pantai China (CCG) terhadap perairan negara di wilayah Laut China Selatan; khususnya di kepulauan Beting Patinggi Ali, Sarawak yang dikhuatiri boleh mencetuskan ketidakstabilan ekonomi serta merugikan ekonomi Malaysia apabila ia boleh menggugat kepercayaan pelabur dan perdagangan antarabangsa.

2.

Kehadiran kapal-kapal tersebut bukan sahaja mengganggu kelancaran operasi pelantar-pelantar minyak PETRONAS, tetapi turut menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan yang bimbang keselamatan mereka. Sikap kerajaan China yang seolah-olah tidak mahu mengendahkan atau menghormati had sempadan maritim negara-negara ASEAN termasuklah sempadan maritim Malaysia dikhuatiri bakal menjejaskan hubungan baik dua-hala yang telah dibina sekian lama.

3.

Kepulauan kecil yang dikenali sebagai Beting Patinggi Ali (BPA), bersempana nama pemimpin masyarakat Melayu Sarawak itu juga dipanggil Luconia Shoal dan Beting Raja Jarum. Tuntutan China terhadap BPA (yang mereka namakan Beikang Ansha atau Nankang Ansha) dari aspek geografinya pun sudah tidak munasabah memandangkan kedudukan pulau itu sendiri letaknya lebih dua ribu kilometer dari tanah besar China berbanding hanya 155 kilometer daripada pantai Miri, Sarawak.

4.

Tambahan lagi, jika dirujuk peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982), negara berpantai berhak menuntut kawasan EEZ (Zon Ekonomi Eksklusif) sehingga 200 batu nautika, sekaligus meletakkan kawasan Beting Patinggi Ali yang berada di perairan Sarawak sebagai hakmilik muktamad dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia.

5.

Melalui penguatkuasaan Akta Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia 2006, Malaysia mengawal ketat kegiatan maritim yang dilakukan di kawasan Beting Patinggi Ali demi menjaga kedaulatan wilayah, serta memulihara khazanah laut dan warisan sejarahnya. Hasilnya, BPA memiliki sumber gas asli, minyak dan hidupan laut yang banyak dan masih belum diterokai; kecuali empat platform minyak dan gas PETRONAS sedia ada yang terletak kurang 25 kilometer daripada sempadan kawasan BPA iaitu F230-A (16.5 km), F6Q-S (22 km), MI-Q (14.6 km) dan BIIP-A (17.6 km).

6.

Keghairahan kerajaan China menghantar bukan sahaja kapal-kapal peronda yang serba canggih, tetapi turut mengirim kapal penyelidik, pesawat pengintip, kapal skrap, serta pasukan perisik yang menyamar sebagai nelayan China telah berleluasa sejak 2013 lagi kononnya bagi menuntut ‘hak bersejarah maritim China’ di kawasan Laut China Selatan, walaupun tuntutan sedemikian tidak pernah diperakui masyarakat antarabangsa.

7.

Kementerian Pertahanan Malaysia (KEMENTAH) melalui Laporan Jabatan Audit Negara juga mengesahkan pencerobohan kapal-kapal CCG dan Angkatan Laut Tentera Negara China sebanyak 89 kali diantara tahun 2016 hingga 2019 yang kebanyakannya berlaku di Beting Patinggi Ali.

8.

Laut China Selatan yang kaya dengan sumber alam, termasuk minyak dan gas serta hasil tangkapan laut lumrahnya akan menarik perhatian ramai pihak berkepentingan. Walaupun terdapat kawasan-kawasan panas yang menjadi rebutan, negara anggota ASEAN atas semangat setiakawannya sentiasa menghormati kedaulatan negara tetangga dan tidak sewenangnya menceroboh. Tindakan tidak beradab China yang ibarat “abang besar” yang mahu menguasai sumber daya ini nampaknya semakin tidak terkawal dan berpotensi mewujudkan krisis diplomatik berpanjangan jika tidak ditangani segera.

9.

Dalam perkembangan berkaitan, pada awal Disember 2023 PETRONAS telah mengumumkan kejayaan eksplorasi minyak dan gas mereka di pesisir Sarawak dan Sabah dengan sasaran penghasilan lebih satu bilion tong minyak mentah. Kekerapan kehadiran kapal-kapal peronda asing China hampir setiap hari bagaimanapun telah merencatkan usaha disamping memberi tekanan yang tidak sepatutnya kepada PETRONAS, termasuklah vendor-vendor tempatan yang terlibat untuk meneruskan kerja-kerja mereka tanpa sebarang gangguan.

10.

Pada masa yang sama, kehadiran kapal CCG di perairan negara juga dilihat sebagai tindakan provokatif mencabar Malaysia untuk mempertahankan wilayahnya. Peningkatan ketara aktiviti pencerobohan tersebut juga sudah tentu dipengaruhi oleh penerbitan ‘Peta Standard China Edisi 2023’ pada tahun lalu yang telah dibantah serta-merta bukan sahaja oleh Malaysia, tetapi juga oleh anggota ASEAN seperti Indonesia, Malaysia, Filipina, Vietnam, dan tidak terkecuali bantahan daripada negara India, Jepun dan Taiwan.

11.

Jika sebelum ini China mahu menuntut hampir 80% kawasan di Laut China Selatan, termasuklah “Nine Dash Line” merangkumi kawasan EEZ Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Vietnam dan Taiwan; peta terbaru tersebut dengan “dash ke-10” telah memasukkan Taiwan dan sebahagian besar Kepulauan Spratly. Ianya tindakan yang jelas-jelas melanggar penentuan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

12.

Selain prospek penguasaan ekonomi, penguasaan negara China ke atas Laut China Selatan juga bertujuan meraih keuntungan strategik dalam hal geopolitik. Perairan tersebut merupakan jalur pelayaran penting untuk perdagangan dunia dan memiliki nilai pulangan besar dalam kempen China mencatur kekuatan serantau dan global mereka.

13.

Bagi pihak Malaysia, selain bertindak balas dengan mengusir penceroboh melalui penglibatan berterusan TLDM dan APMM, sebanyak tujuh nota protesKenyataan media ini juga boleh dikeluarkan sebagai kenyataan akhbar

diplomatik telah dihantar ke Beijing sehingga Mei 2021.

DPMM amat menghargai pendirian mantan Menteri Pertahanan Malaysia (KEMENTAH), Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa Beting Patinggi Ali adalah milik Malaysia dan tidak akan mengiktiraf apa jua tuntutan daripada pihak lain. Kami berharap tindakan ketegasan ini akan dapat dipertingkatkan lagi dibawah seliaan Menteri Pertahanan yang baru dilantik.

14.

Kebiadapan China bukan Sahaja telah mengguris perasaan Malaysia tetapi mereka dilaporkan turut melakukan perkara serupa di perairan negara anggota ASEAN yang lain. DPMM menggesa agar hal ini dapat dibawa ke meja rundingan peringkat ketua-ketua negara ASEAN dalam masa terdekat bagi mendesak China menghormati kedaulatan negara-negara ASEAN dan menghentikan aktiviti provokasi mereka serta merta.

15.

Kesimpulannya, Malaysia sebagai sebuah negara maritim dengan lebih 80% muka buminya di Semenanung dan Wilayah Sabah & Sarawak adalah pesisir pantai amat memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan. Kerajaan pimpinan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim wajar mengambil tindakan pre-emptive dengan menambah kapasiti penguatkuasaan maritim Malaysia khususnya dari aspek tenaga manusia dan pembelian aset-aset yang strategik bertujuan menambah keupayaan taktikal dalam mendepani ancaman asing dan memastikan perairan negara bebas daripada terus diceroboh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *