fbpx

PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia dijangka bertumbuh dengan kadar perlahan pada beberapa bulan ke hadapan berdasarkan Indeks Pelopor (IP) yang menyusut 1.2 peratus kepada 110.1 mata pada Mac 2023.

IP adalah alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan berkata, prestasi IP terjejas disebabkan oleh penurunan yang ketara dalam import benar semikonduktor dan indeks perusahaan Bursa Malaysia.

Ia berkata, perubahan bulanan IP juga mencatatkan penurunan sebanyak 1.1 peratus pada Mac 2023 berbanding 2.9 peratus pada bulan sebelumnya yang disebabkan oleh jangkaan nilai jualan, pembuatan (-0.6 peratus) dan import benar logam asas berharga & logam bukan ferus lain (-0.5 peratus).

“Melihat kepada arah aliran jangka panjang terlicin pada Mac 2023, IP mencatatkan 99.3 mata berbanding 99.2 mata pada Februari 2023.

“Meskipun masih berada di bawah trend 100.0 mata, ekonomi dijangka berkembang secara sederhana dalam tempoh terdekat. Jangkaan itu mengambil kira cabaran global dan ketidaktentuan domestik,” katanya menerusi penerbitan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan Bagi Februari 2023.

Sementara itu, DOSM berkata Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa, pula meningkat 3.4 peratus kepada 121.9 mata pada Mac 2023, berbanding 117.9 mata pada bulan sama tahun lalu.

Jabatan itu berkata, peningkatan ini disumbangkan oleh semua komponen kecuali kapasiti penggunaan dan pembuatan.

“Pada masa yang sama, perubahan bulanan IS juga mencatatkan peningkatan 0.2 peratus, disokong terutamanya oleh indeks kuantiti perdagangan runcit (0.3 peratus),” katanya.

Sumber : Berita Harian
Link : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/05/1105820/ekonomi-dijangka-perlahan-beberapa-bulan-akan-datang?fbclid=IwAR22Iinvx-EefHknhJ4qIzvZrYwFHmAZsPxiQrpaJvE88kPCuob0OAVKBIE