Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan RM134.3 bilion, meningkat 14.7 peratus pada Februari 2023.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang mengatasi subsektor lain dengan peningkatan sebanyak RM9.4 bilion atau 19.2 peratus kepada RM58.2 bilion.
Beliau berkata, jualan kenderaan bermotor juga berkembang dengan 36.1 peratus atau RM4.5 bilion kepada RM16.9 bilion.
Katanya, dalam tempoh yang sama, perdagangan borong meningkat 5.9 peratus atau RM3.3 bilion kepada RM59.1 bilion.
“Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit menurun 0.6 peratus, disebabkan oleh subsektor perdagangan borong dan perdagangan runcit masing-masing merosot sebanyak 2.0 peratus dan 2.4 peratus,” katanya dalam kenyataan Prestasi Perdagangan Borong & Runcit, Februari 2023 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 19.2 peratus pada Februari 2023 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 21.1 peratus atau RM3.9 bilion kepada RM22.1 bilion.
Katanya, kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (24.2 peratus), jualan runcit bahan api kenderaan (45.9 peratus), jualan runcit makanan, minuman & tembakau (18.4 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (7.5 peratus), jualan runcit peralatan komunikasi & maklumat (8.0 peratus), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (14.0 peratus) dan jualan runcit di gerai dan pasar (21.0 peratus).
“Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini menurun 2.4 peratus,” katanya.
Mohd Uzir berkata, pertumbuhan 36.1 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor pada bulan dikaji disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat 49.8 peratus atau RM3.1 bilion kepada RM9.3 bilion.
Beliau menambah, ini diikuti oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (22.6 peratus), penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (21.2 peratus) serta jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (24.4 peratus).
“Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat sebanyak 11.7 peratus, disumbangkan oleh kenaikan pada jualan kenderaan bermotor sebanyak 21.3 peratus,” katanya.
Mengenai subsektor perdagangan borong, Mohd Uzir berkata kenaikan 5.9 peratus disumbangkan oleh jualan borong barangan isi rumah yang meningkat sebanyak RM1.7 bilion atau 15.8 peratus kepada RM12.5 bilion.
Katanya, ini diikuti oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau (9.9 peratus), jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (10.0 peratus) dan jualan borong bukan pengkhususan (6.1 peratus).
“Sebaliknya, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong menurun 2.0 peratus, disumbangkan terutamanya oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang menguncup 5.1 peratus kepada RM12 bilion,” katanya.
Sumber : Berita Harian
link : https://www.bharian.com.my/amp/bisnes/lain-lain/2023/04/1088591/jualan-borong-runcit-cecah-rm1343-bilion-pada-februari?fbclid=IwAR2razknZyynmfCHkSXdW3C0ChGcEEUNCHRVALpMMkVMeV1xYJ6flUmQ4R4