fbpx

KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji dan mengurangkan ketidakpadanan kemahiran adalah antara empat cadangan untuk memacu pemulihan kadar pengangguran serta melonjak semula pasaran pekerjaan negara.

Turut dicadangkan adalah intervensi penting untuk meningkatkan hasil bekalan buruh serta langkah mengoptimumkan penciptaan pekerjaan melalui pengambilan pekerja yang inklusif dan mekanisme pemadanan pekerjaan yang lebih baik.

The Future Studies Bhd (The Future) menerusi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Depan (EU-ERA) dalam kajiannya mendedahkan beberapa cadangan dikemukakan untuk mempercepatkan pemulihan kadar pengangguran dan pasaran buruh secara keseluruhan.

Katanya, cadangan berkenaan lebih relevan untuk langkah jangka pendek, bukannya sederhana.

“Gaji yang lebih tinggi didapati menjadi jawapan bagi beberapa isu struktur di Malaysia, termasuk penyertaan tenaga buruh wanita yang rendah dan ketidakpadanan.

“Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa kenaikan gaji yang sederhana tidak mungkin menjejaskan ekonomi dan mungkin, sebenarnya, mempunyai kesan positif,” demikian menurut kajian bertajuk Menilai Tinjauan Pengangguran 2023: Cabaran dan Peluang.

Ketua Ekonomi The Future, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata kenaikan gaji memberi kesan kepada ekonomi dalam dua cara.

Pertama, katanya, kenaikan gaji boleh merangsang perbelanjaan pengguna di mana apabila pekerja memperoleh lebih banyak wang, mereka mungkin berbelanja lebih, yang mana boleh meningkatkan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan, seterusnya membawa kepada peningkatan aktiviti ekonomi dan penciptaan pekerjaan.

“Kedua, kenaikan gaji boleh menyebabkan ‘turnover’ (pemberhentian) yang lebih rendah dan produktiviti pekerja yang lebih tinggi.

“Apabila pekerja dibayar lebih, mereka lebih berkemungkinan untuk kekal dengan majikan mereka, mengurangkan kos yang berkaitan dengan penggantian. Selain itu, gaji yang lebih tinggi boleh meningkatkan motivasi dan produktiviti pekerja, yang membawa kepada peningkatan kualiti dan kecekapan di tempat kerja,” katanya.

Mohd Yusof berkata, saiz ketidakpadanan kemahiran boleh dikurangkan sebanyak 2.7 peratus untuk setiap peratus kenaikan gaji.

“Dalam erti kata lain, kita boleh mentafsirkan kemerosotan yang dianggarkan sebagai peratusan perubahan dalam pekerjaan sebagai tindak balas kepada peratusan perubahan dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) benar,” katanya.

Cadangan kedua yang diutarakan dalam kajian terbabit menyentuh mengenai langkah meningkatkan permintaan buruh melalui sektor pengganda guna tenaga tinggi.

Mohd Yusof berkata, pendekatan itu merujuk kepada strategi yang menyasarkan sektor ekonomi yang memberi impak besar kepada pewujudan pekerjaan di seluruh ekonomi.

Katanya, sektor terbabit dikenali sebagai pengganda guna tenaga tinggi kerana ia mewujudkan pekerjaan bukan sahaja dalam industri mereka sendiri tetapi juga dalam industri berkaitan yang membekalkan barangan dan perkhidmatan.

“Kami telah menganggarkan keanjalan pekerjaan kepada KDNK dalam lima sektor utama iaitu pertanian, perlombongan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

“Sektor perkhidmatan dan pembuatan adalah sumber utama penyerapan guna tenaga, menyumbang masing-masing 64.9 peratus dan 16.6 peratus kepada jumlah guna tenaga pada tahun 2021. Kedua-dua sektor ini juga menunjukkan keanjalan guna tenaga yang besar sebagai tindak balas kepada pertumbuhan KDNK.

“Justeru, menumpukan usaha untuk mewujudkan dan penempatan pekerjaan dalam kedua-dua sektor ini akan menyumbang kepada pengurangan pengangguran yang ketara.

Bagi strategi rangsangan pertumbuhan, katanya, orientasi ‘outward’ melalui pengembangan eksport adalah pertumbuhan utama bagi sektor pembuatan dan orientasi ‘inward’ melalui penggunaan domestik adalah pengembangan utama bagi sektor perkhidmatan.

Menyentuh cadangan ketiga, Mohd Yusof berkata, intervensi penting untuk meningkatkan hasil bekalan buruh di mana pendekatan pelbagai dimensi perlu digunakan dengan memberi insentif kepada orang ramai untuk bekerja dan menyelaraskan semula kemahiran dan kecekapan tenaga kerja bagi memenuhi permintaan industri yang menjadi kunci dalam menyokong ekonomi.

“Pengangguran belia, penyertaan wanita, kebolehpasaran siswazah dan pekerja yang lebih tua adalah antara segmen bahagian penawaran yang memerlukan campur tangan khusus. Peralihan pembangunan bakat daripada dipacu bekalan kepada permintaan dijangka akan mempercepatkan penempatan pekerjaan,” katanya.

Bagi cadangan keempat, beliau berkata, langkah mengoptimumkan penciptaan pekerjaan melalui pengambilan pekerja yang inklusif dan mekanisme pemadanan pekerjaan yang lebih baik.

Katanya, sejak pandemik melanda, sektor ekonomi mengalami kekurangan tenaga kerja dan intervensi inklusif telah dilaksanakan untuk memaksimumkan bakat tempatan bagi mengisi kekosongan.

“Pengurusan data untuk pengambilan dan pemadanan hendaklah inklusif untuk membabitkan penunjuk gaji dan bukan gaji yang penting bagi menentukan penempatan dan pengekalan.

“Contohnya, mengurangkan kos peluang (seperti kos perumahan dan penjagaan kanak-kanak) penghijrahan buruh ldengan meningkatkan faedah bagi pekerja dan destinasi.

“Di samping itu, penunjuk bukan gaji seperti persekitaran kerja dan hubungan majikan-pekerja adalah penentu penting bagi pekerja belia,” katanya.

SUMBER : BERITA HARIAN
LINK : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/04/1086398/empat-cadangan-lonjak-semula-pasaran-pekerjaan-kaji-selidik?fbclid=IwAR35DPPzKFBHcwcrsf24YpVwmKzE9tYqbRYfL5DTEQ6pAKg5MHim2icrmZI