fbpx

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian dan jabatan mempersiapkan infrastruktur dan kemahiran sumber manusia untuk menerima pelaburan asing yang kian rancak ke negara ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jika pelaburan masuk ke Malaysia tetapi anak tempatan tidak diberi peluang, ia menyebabkan tidak berlaku pemindahan teknologi dan latihan khusus.

Berucap pada majlis perhimpuan bulanan Kementerian Kewangan (MoF) di sini pada Selasa, Anwar berkata, MoF harus membantu menyelaraskan untuk mengetahui apa bidang yang kurang termasuk berkaitan kemahiran sumber manusia sebagai persediaan menerima pelaburan asing.

“Kalau perlu (sediakan) peruntukan khas tambahan untuk beri latihan intensif. Jika tidak mereka (pelabur) terpaksa mengambil pekerja dari luar negara. Ini hal yang harus dipantau dan segerakan tindakan,” katanya.

Anwar berkata pelaburan RM25.5 bilion oleh Amazon Web Services (AWS) serta RM170 bilion oleh China, mempunyai “snowball effect” dalam pelaburan Malaysia, apabila banyak negara menunjukkan minat membuat pelaburan dalam negara.

“Kalau hanya tunggu pelaburan, tetapi tidak siapkan jentera kemahiran dan infrastruktur, ini akan menjadi masalah. Bila mereka (pelabur) masuk, keperluan prasarana kian bertambah,” katanya.

Anwar berkata pelaburan di Malaysia kian meningkat disebabkan sistem politik yang stabil dan dasar-dasar kerajaan yang jelas serta usaha awal pegawai kerajaan dalam menarik pelaburan sehingga membuahkan hasil yang begitu baik.

“Saya mengucapkan penghargaan, terima kasih, kerana apabila jentera penjawat awam itu dianggap telus dan cekap, jadi hasilnya itu baik. Bila ada kesepakatan dari semua pegawai jabatan dan agensi, ia mempermudahkan dan melicinkan proses serta menyakinkan pelabur dan kemudian mendapat manfaat.

Sumber : Sinar harian
Link : https://www.sinarharian.com.my/article/252846/berita/nasional/pm-arah-persiapkan-frasarana-kemahiran-sumber-manusia?fbclid=IwAR1X2t70To2WnovaQklo3IB9iU87NXfzbhEHNiegnLOSk4TC45hwTktqcQk