28 Oktober 2026 | Kuala Lumpur
Semalam Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), diwakili oleh Timbalan Presiden, En. Dzahir Jamudin, telah mengadakan pertemuan bersama POS Malaysia yang diwakili oleh Amira Naat daripada bahagian Strategic Partnership bersama rakannya bagi meneroka potensi kerjasama dalam memperkukuh sokongan kepada usahawan, khususnya dalam bidang logistik, pemenuhan pesanan (fulfilment) dan pendigitalan perniagaan.
Perbincangan merangkumi potensi penggunaan perkhidmatan POS Malaysia bagi membantu usahawan mengurus penyimpanan stok, pemprosesan pesanan, pembungkusan dan penghantaran produk. Turut dibincangkan ialah peluang sokongan pembiayaan serta pengembangan saluran jualan dalam talian.
Selain itu, kedua-dua pihak turut meneroka potensi penglibatan POS Malaysia dalam program Jelajah JIWA SME 2027 serta peluang memperkenalkan perkhidmatan logistik kepada ahli Konsortium Perdagangan dan Peruncitan DPMM.
Pertemuan ini menjadi langkah awal ke arah mengenal pasti peluang kerjasama strategik yang dapat membantu usahawan meningkatkan kecekapan operasi, memperluas pasaran dan mengukuhkan daya saing perniagaan.
DPMM komited membina jaringan strategik bersama rakan industri bagi membuka lebih banyak peluang dan menyediakan sokongan yang relevan kepada usahawan Bumiputera.