PETALING JAYA, 26 September 2026
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), En. Norsyahrin bin Hamidon, hari ini merasmikan Jelajah JIWA SME Astro AWANI Peringkat Negeri Selangor 2026 yang berlangsung di Paradigm Mall, Petaling Jaya.
Turut hadir Pengarah dan Ketua Pengarang Astro AWANI, En. Zaiful Ariffin, Yang Berusaha Encik Shahril Effendi bin Jaafar, General Manager SME Sales, Unifi Business, bersama Timbalan Presiden DPMM, En. Dzahir bin Jamudin, Naib Presiden DPMM, En. Yusry bin Yusof, serta Ar. IDr. Haji Azli bin Md Yusof, YDP DPMM Negeri Selangor merangkap Naib Presiden DPMM. Hadir sama En. Zuhaizar, YDP DPMM Negeri Kedah, barisan Ahli DPMM Negeri Selangor dan Kedah serta komuniti usahawan.
JIWA SME 2026 pada tahun ini menjadikan Unifi Business sebagai penaja utama, dalam menjayakan inisiatif yang menghimpunkan usahawan PMKS, pemain industri dan komuniti perniagaan melalui pelbagai pengisian serta peluang jaringan perniagaan.
JIWA SME merupakan platform keusahawanan Astro AWANI yang menampilkan pelbagai pengisian termasuk sesi podcast, perkongsian industri, pentas pitching, pameran vendor, aktiviti digital, networking serta peluang mempromosikan produk dan perniagaan tempatan. Bagi edisi 2026, JIWA SME turut menggabungkan pengalaman fizikal dengan kandungan digital dan live commerce.
Bagi edisi Selangor, program yang berlangsung pada 26 dan 27 September 2026 di Paradigm Mall turut menampilkan Pentas CIPTA, Pentas JUAL, TikTok Workshop, Sudut Solusi, booth vendor, sesi podcast dan ruang networking bagi membuka lebih banyak peluang kepada usahawan mendapatkan ilmu, membina jaringan serta mengetengahkan perniagaan mereka.
Dalam pada itu, Astro AWANI dan Unifi Business turut menyatakan minat untuk bersama-sama menyokong Jelajah GEMA DPMM yang dilaksanakan di seluruh negara, sebuah inisiatif yang kini berjalan dengan kerjasama rakan strategik MARA dalam memperkasa dan memperluas jaringan usahawan tempatan.
Cadangan penglibatan Astro AWANI dan Unifi Business dalam Jelajah GEMA DPMM bagi tahun 2027 akan dibincangkan dengan lebih lanjut bagi meneroka bentuk kerjasama yang bersesuaian, khususnya dalam memperluas capaian, kandungan, jaringan serta peluang kepada komuniti usahawan di seluruh negara.
DPMM komited untuk terus membina jaringan strategik bersama pemain media, industri dan rakan strategik bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan, memperluas peluang pasaran serta memastikan lebih ramai usahawan tempatan mendapat akses kepada platform, ilmu dan jaringan yang mampu menyokong perkembangan perniagaan mereka.