KENYATAAN MEDIA
DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA (DPMM)

PENGGUGURAN SYARAT EKUITI BUMIPUTERA: DPMM GESA PENJELASAN DASAR YANG JELAS DAN SELARAS

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) memandang serius keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak lagi menetapkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera sebagai syarat bagi institusi pendidikan swasta tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad.

DPMM turut mengambil perhatian terhadap perbezaan penjelasan antara kementerian berhubung proses keputusan tersebut. Pada 21 September 2026, KPM menyatakan bahawa keputusan berkenaan dibuat susulan sesi perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Walau bagaimanapun, pada 22 September 2026, MITI menjelaskan bahawa kementerian itu tidak mempunyai makluman mengenai penyelarasan tersebut dan bahawa dasar pemilikan ekuiti Bumiputera berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.

Perbezaan penjelasan ini wajar diperjelaskan dengan segera bagi memelihara keyakinan masyarakat dan komuniti perniagaan terhadap ketelusan, konsistensi dan akauntabiliti proses pembuatan dasar kerajaan.

Isu yang perlu dijelaskan bukan sahaja rasional mengapa syarat tersebut tidak lagi ditetapkan, tetapi juga pihak berkuasa yang mempertimbang, memperakukan dan meluluskan keputusan itu; kementerian serta agensi yang telah dirujuk; proses libat urus yang dilaksanakan; dan data serta penilaian impak yang digunakan sebagai asas keputusan.

DPMM berpandangan bahawa sebarang perubahan dasar yang mempunyai kesan terhadap pemilikan dan penyertaan ekonomi Bumiputera perlu melalui penyelarasan antara kementerian yang jelas, telus dan berasaskan data.

Keperluan ini menjadi lebih penting apabila agenda pemilikan ekonomi Bumiputera masih belum selesai. PuTERA35 merekodkan pemilikan ekuiti oleh individu dan agensi mandat Bumiputera pada kadar 18.4 peratus pada 2020, dengan aspirasi meningkatkannya kepada 30 peratus menjelang 2035.

Sehubungan itu, timbul persoalan dasar apabila Kerajaan sedang berusaha meningkatkan pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera, tetapi pada masa yang sama salah satu mekanisme penyertaan ekuiti tidak lagi ditetapkan, tanpa penerangan mencukupi tentang mekanisme alternatif yang akan menggantikannya.

DPMM menegaskan bahawa keterbukaan pasaran dan pengukuhan penyertaan Bumiputera bukan dua matlamat yang perlu dipertentangkan. Dasar yang baik seharusnya mampu menarik pelaburan, meningkatkan daya saing sektor pendidikan dan pada masa yang sama memastikan Bumiputera mempunyai peluang yang bermakna sebagai pemilik, pengusaha, pelabur serta peserta dalam rantaian bekalan sektor tersebut.

Sekiranya Kerajaan berpandangan bahawa mekanisme 30 peratus yang digunakan sebelum ini tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa, mekanisme alternatif yang lebih berkesan, telus dan boleh diukur perlu dikemukakan dengan jelas kepada pihak berkepentingan.

Sehubungan itu, DPMM menggesa Kerajaan memberikan penjelasan rasmi dan konsisten mengenai:

1. Pihak berkuasa dan kementerian yang mempertimbang, memperakukan serta meluluskan keputusan tersebut;
2. Skop sebenar institusi pendidikan swasta (IPS) yang terlibat dan tarikh kuat kuasa penyelarasan;
3. Proses libat urus dan mekanisme penyelarasan antara kementerian dan agensi;
4. Data dan penilaian impak terhadap pemilikan serta penyertaan ekonomi Bumiputera; dan
5. Mekanisme alternatif yang akan diperkenalkan bagi memastikan penyertaan Bumiputera dalam sektor pendidikan swasta tidak terhakis.

Sementara penjelasan dan penilaian impak tersebut belum dimuktamadkan, DPMM mencadangkan agar pelaksanaan penyelarasan ini diteliti dan diperhalusi terlebih dahulu melalui libat urus bersama pihak berkepentingan.

Bagi DPMM, perkara ini lebih besar daripada angka 30 peratus semata-mata. Ia melibatkan konsistensi dasar, tadbir urus dalam proses membuat keputusan, dan hala tuju agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

DPMM bersedia untuk terlibat dalam sesi libat urus bersama KPM, Kementerian Ekonomi, MITI dan agensi berkaitan bagi membangunkan penyelesaian yang seimbang. Matlamatnya ialah memastikan sektor pendidikan swasta terus berkembang, kompetitif dan terbuka, tanpa mengetepikan usaha memperkukuh pemilikan, penguasaan serta penyertaan ekonomi Bumiputera.