KUALA LUMPUR | 21 SEPTEMBER 2026
Semalam Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), En. Mohd Dzahir bin Jamudin, telah mewakili DPMM sebagai juri bagi sesi Pitch Perfect sempena MAICCI Entrepreneur Summit 2026, yang telah dirasmikan oleh YB Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Sesi tersebut menghimpunkan para usahawan daripada pelbagai latar belakang untuk membentangkan idea dan model perniagaan mereka. Penilaian turut memberi tumpuan kepada kekuatan model perniagaan, pengesahan pasaran, disiplin kewangan, kebolehskalaan serta kesediaan untuk menerima pelaburan.
Dalam persekitaran perniagaan yang semakin dinamik, usahawan perlu bukan sahaja mempunyai idea yang baik, tetapi juga mampu membina perniagaan yang produktif, tangkas, berdaya tahan dan berdaya saing, termasuk memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Antara perkara penting yang diketengahkan ialah keperluan untuk memahami masalah sebenar pelanggan, membuktikan permintaan pasaran, mengurus aliran tunai dengan baik, membina tadbir urus yang kukuh, memanfaatkan teknologi serta memperluas akses kepada pembiayaan, kepakaran dan pasaran.
Pendekatan ini selari dengan kerangka ABCD dalam memperkukuh perusahaan Malaysia:
A — Accelerate Productivity
B — Bureaucracy Reduction
C — Capital Accessibility
D — Driving Market Access
Turut hadir ialah wakil-wakil agensi di bawah KUSKOP termasuk SME Corporation Malaysia, TEKUN Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Rakyat dan agensi-agensi berkaitan.
DPMM merakamkan penghargaan kepada MAICCI atas jemputan dan penganjuran platform yang menyediakan ruang bermakna untuk usahawan mempersembahkan perniagaan serta membuka peluang jaringan, pembiayaan dan akses pasaran.
DPMM akan terus menyokong usaha memperkasa usahawan Malaysia agar lebih produktif, berdaya tahan, berdaya saing dan bersedia menembusi pasaran serantau serta antarabangsa.