
DPMM PERKUKUH JARINGAN PERDAGANGAN MALAYSIA–CHINA MELALUI CABIS
23 Julai 2026 | Kuala Lumpur
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) terus memperkukuhkan peranannya dalam memperluas jaringan perdagangan antarabangsa apabila Timbalan Presiden DPMM mewakili organisasi menghadiri sesi pertemuan strategik bersama Sekretariat China-ASEAN Business and Investment Summit (CABIS) yang berlangsung di Ibu Pejabat National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia (NCCIM).
Turut menyertai sesi tersebut ialah wakil daripada Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCIM), Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) serta Malaysia-Associated Indian Chambers of Commerce and Industry (MAICCI).
Pertemuan ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China, di samping membuka lebih banyak peluang kerjasama rentas sempadan kepada komuniti perniagaan negara.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk:
- Hubungan perdagangan Malaysia–China yang terus berkembang selama 17 tahun berturut-turut, dengan nilai perdagangan dua hala meningkat 11.9% kepada RM541.9 bilion, mewakili 17.7% daripada keseluruhan perdagangan Malaysia.
- Wilayah Guangxi dikenal pasti sebagai pintu masuk strategik bagi syarikat Malaysia menembusi pasaran domestik China serta memperkukuhkan hubungan perdagangan ASEAN–China.
- Pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang membuka peluang kepada pelaburan dalam teknologi tinggi, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan bernilai tinggi.
- Tawaran kerjasama daripada delegasi Guangxi dalam sektor makanan dan industri halal, peralatan perubatan, pendidikan dan latihan, minuman serta produk premium, teknologi dan AI, pelaburan perindustrian serta pembangunan peluang kepada usahawan Bumiputera.
Bagi DPMM, pertemuan ini menjadi platform strategik untuk ahli-ahli meneroka peluang seperti:
- Business Matching bersama syarikat dari China.
- Kerjasama Joint Venture dan pemindahan teknologi.
- Peluang eksport ke pasaran China.
- Penyertaan dalam rantaian bekalan serantau ASEAN–China.
- Kerjasama dalam sektor berteknologi tinggi selaras aspirasi NIMP 2030.
Turut dimaklumkan bahawa China-ASEAN Business and Economic Forum (CAE) 2026 akan berlangsung di Nanning, Guangxi pada 17 hingga 19 September 2026, dengan memberi fokus kepada padanan perniagaan, kecerdasan buatan (AI), perdagangan serta pelaburan serantau.
DPMM komited untuk terus memainkan peranan proaktif dalam memastikan lebih ramai usahawan Bumiputera memperoleh akses kepada peluang perdagangan antarabangsa, pelaburan strategik dan rangkaian perniagaan ASEAN–China demi memperkukuh daya saing perusahaan tempatan di peringkat global.
#DPMM #NCCIM #CABIS #MalaysiaChina #ASEAN #BusinessMatching #Trade #Investment #NIMP2030 #Bumiputera #Guangxi #EconomicDiplomacy #MalaysiaMadani