17 Julai 2026
Anjung Melayu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM)
Sesi Meja Bulat DPMM bertemakan “PMX Mahu Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Sebagai Agenda Nasional – Apa Peranan NGO Melayu?” yang menghimpunkan lebih 40 wakil NGO, persatuan, syarikat dan pemain industri bagi membincangkan pendekatan terbaik dalam memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Sesi ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Datuk Mustaffa Kamil Ayub, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, yang berkongsi pandangan mengenai kepentingan sinergi antara NGO, agensi kerajaan, institusi serta sektor swasta dalam membina ekosistem keusahawanan Bumiputera yang lebih mampan, berdaya saing dan berimpak tinggi.
Perbincangan telah dipengerusikan oleh Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon, dan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden serta barisan kepimpinan dan ahli-ahli DPMM dari pelbagai negeri.
Hasil daripada sesi meja bulat ini, DPMM akan merumuskan satu Resolusi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang menghimpunkan segala pandangan, cadangan dan syor yang telah dibentangkan oleh para peserta. Resolusi tersebut akan menjadi dokumen rasmi DPMM sebagai asas kepada cadangan dasar dan tindakan strategik yang akan dikemukakan kepada pihak kerajaan serta agensi-agensi berkaitan, demi memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera terus diperkasakan sebagai agenda nasional.
DPMM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua organisasi, panel dan peserta yang telah meluangkan masa serta menyumbangkan idea, pandangan dan komitmen sepanjang sesi berlangsung. Semoga pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat serta melahirkan tindakan yang konkrit dalam memperkukuh peranan NGO Melayu sebagai rakan strategik kerajaan ke arah membina ekonomi Bumiputera yang lebih kukuh, inklusif dan berdaya tahan.