
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyambut baik jalinan kerjasama strategik bersama Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU) dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi syariah serta industri halal antara Malaysia dan Indonesia.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperluaskan jaringan perdagangan, pembangunan usahawan serta memperkasa potensi ekonomi umat Islam di rantau Nusantara. Hubungan erat antara organisasi ekonomi dan masyarakat Islam serantau amat penting dalam mendepani cabaran ekonomi global yang semakin kompetitif dan dinamik.
DPMM percaya bahawa industri halal, kewangan Islam, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta ekonomi digital berteraskan syariah mempunyai potensi besar untuk diterokai secara bersama melalui perkongsian kepakaran, teknologi dan jaringan pasaran.
Selain membuka peluang pelaburan dan perdagangan baharu, kerjasama ini juga mampu memperkukuh pembangunan modal insan, inovasi industri serta melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Turut hadir bersama dalam pertemuan ini ialah Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof Rawa, Dato’ Sri (Dr.) Syed Hussein bin Abd Kadir Al-Habshee, wakil DPMM Ar. IDr. Haji Mohd Azli Bin Md Yusof selaku YDP DPMM Selangor serta beberapa ahli DPMM.
DPMM komited untuk terus memperluaskan hubungan strategik bersama organisasi ekonomi dan masyarakat Islam di peringkat serantau demi memperkasakan ekonomi ummah serta memastikan usahawan Melayu dan Bumiputera terus berkembang dalam ekosistem ekonomi global yang mampan dan inklusif.