26 JULAI 2024 – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah menghadiri Gala Dinner Tahunan Ke-62 yang dianjurkan oleh Majlis Perdagangan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCIM). Acara berprestij ini diadakan di One World Hotel, Petaling Jaya, Selangor.
Gala tahunan ini diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, bersama YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, serta YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital.
Tema bagi Gala Tahunan NCCIM ke-62, iaitu “Menempa Masa Depan Yang Sejahtera dengan Nilai-nilai MADANI,” seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI. Ini mencerminkan peranan penting komuniti perniagaan dalam menyokong Agenda Ekonomi MADANI, dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai ekonomi terkemuka di Asia dan meningkatkan kualiti hidup rakyat secara keseluruhan.
Sebagaimana diketahui, Majlis Perdagangan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCIM) adalah sebuah organisasi payung yang menggabungkan lima persatuan perniagaan utama di Malaysia. DPMM merupakan salah satu daripada persatuan tersebut, dan Presiden DPMM, En. Norsyahrin Bin Hamidon adalah antara Naib Presiden NCCIM.
DPMM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua wakil DPMM dari pusat dan negeri yang telah hadir untuk memeriahkan Gala Tahunan NCCIM ke-62.