26 JULAI 2024 – Semalam, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), En. Norsyahrin Bin Hamidon, bersama beberapa wakil dari DPMM, telah mengadakan kunjungan hormat ke Bandar Malaysia Sdn Bhd di Kuala Lumpur.
Pertemuan selama satu jam ini bertujuan mendapatkan maklumat mengenai perancangan pembangunan Bandar Malaysia yang meliputi 486 ekar tanah strategik berhampiran pusat bandar Kuala Lumpur dan hab pengangkutan utama. Lawatan ini menandakan satu langkah penting dalam memahami lebih lanjut tentang potensi dan peluang kerjasama yang boleh dijalin.
Perdana Menteri didalam pertemuan beliau bersama kepimpinan DPMM baru-baru ini ada menyarankan agar DPMM melibatkan diri didalam perancangan pembangunan Bandar Malaysia.
Justeru itu, kunjungan DPMM bertemu CEO Bandar Malaysia semalam turut membincangkan pelbagai bentuk kerjasama yang boleh dijalankan bersama diantara DPMM dan Bandar Malaysia Sdn bhd
Bandar Malaysia Sdn Bhd merupakan syarikat pembangunan hartanah utama di Malaysia, bertanggungjawab untuk projek Bandar Malaysia, salah satu projek pembangunan bandar terbesar di negara ini. Syarikat ini memainkan peranan penting dalam merancang dan merealisasikan sebuah pusat bandar baharu di tapak bekas Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi.
Ucapan terima kasih diucapkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bandar Malaysia Sdn Bhd, Ts. Brian Iskandar Zulkarim, bersama wakilnya, atas kesudian menerima kunjungan DPMM. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan dan membawa manfaat kepada kedua-dua pihak serta pembangunan negara secara keseluruhan.