22 JUN 2024 – Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia En Norsyahrin Hamidon menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Komuniti Perniagaan Malaysia-China yang dihoskan oleh MITI dan Kementerian Perdagangan China pada 20 Jun 2024, di Hotel Shangri-La. Majlis yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dianjurkan sempena lawatan Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia.
Majlis makan tengah hari telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan H.E. Perdana Menteri Li Qiang, dan dihadiri oleh 200 tetamu yang terdiri daripada pemimpin perniagaan terkemuka, kapten industri, wakil dewan dan pegawai kerajaan dari kedua-dua negara. Kehadiran kukuh komuniti perniagaan dari kedua-dua belah pihak, adalah bukti kedinamikan hubungan Malaysia-Republik Rakyat China, yang disokong oleh hubungan ekonomi dan rakyat dengan rakyat yang teguh.
Pada hari tersebut turut menyaksikan pertukaran 11 Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan China untuk projek masa depan di Malaysia, dengan jumlah pelaburan berpotensi RM13.2 bilion. MoU itu mencerminkan keyakinan berterusan komuniti perniagaan China terhadap daya maju dan kemampanan hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Rakyat China dan mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini.
DPMM menghargai jemputan ini dan, semoga hubungan antara Malaysia dan China akan terus berkembang. Semoga kita dapat meneroka lebih banyak peluang kerjasama, memajukan inovasi dan menggalakkan pertukaran budaya yang lebih erat demi membina masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk kedua-dua negara.