29 APRIL 2026 – Semalam telah berlangsung sesi Business to Business Matching antara Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bersama Nahdlatul Ulama yang memberi fokus kepada pengukuhan jaringan kerjasama strategik antara kedua-dua organisasi dalam sektor perniagaan dan pelaburan.
Mewakili DPMM dalam sesi tersebut ialah Yang Dipertua DPMM Putrajaya, Tuan Dzahir Bin Jamudin, Yang Dipertua DPMM Negeri Selangor, Ar. IDr. Haji Mohd Azli bin Md Yusof, serta Bendahari Agung DPMM, En. Muhammed Farhan Basheer Ahamed. Turut hadir Dato Dr Syed Hussein Alhabshee dan ahli-ahli DPMM dari Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.
Perbincangan yang berlangsung memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dalam bidang pelaburan patuh syariah (Shariah Compliance Investment) serta pembangunan industri halal yang semakin berkembang di peringkat serantau dan antarabangsa.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan berkenaan peluang kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan antara DPMM dan Nahdlatul Ulama bagi memperkukuh ekosistem perniagaan merangkumi pelbagai sektor termasuk perdagangan, pendidikan, pembangunan usahawan, teknologi serta industri halal.
DPMM percaya hubungan erat yang terjalin ini mampu membuka lebih banyak peluang baharu kepada usahawan Bumiputera dan komuniti perniagaan serantau selaras dengan agenda memperkasa ekonomi ummah.