Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu) yang digagaskan pada tahun 1938 bakal mencecah usia 83 tahun penubuhannya pada tahun ini. Alhamdulillah, walaupun berdepan perbagai ranjau dan cabaran, Dewan Melayu tetap utuh sebagai satu-satunya komuniti ekonomi yang terbesar di negara kita.

Selama dua tahun yang terakhir ini, Dewan Melayu telah melaksanakan proses pemurnian dan penstrukturan semula organisasi secara menyeluruh demi memastikan pengurusan pentadbiran, kewangan serta aset pertubuhan sentiasa telus dan efisien. 

Dewan Melayu juga sentiasa menjunjung Rule of Law serta perlembagaan yang telah termaktub dalam Undang-undang Tubuh-nya bagi memastikan matlamat “menyatupadukan peniaga dan ikhtisas Melayu untuk kepentingan dan faedah ekonomi Melayu; serta meningkatkan maruah dan kecemerlangan bangsa Melayu khususnya dalam bidang ekonomi di peringkat negeri, negara dan antarabangsa” sentiasa diutamakan.

Bagi menjayakan tugas dan amanahnya, pintu Dewan Melayu sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja dalam memastikan setiap polisi, dasar, dan wawasan negara tidak tercicir daripada kiblatnya untuk terus membela dan memperbaiki masa depan orang Melayu dan golongan Bumiputera. 

Keanggotaan serta penglibatan Dewan Melayu dalam perbagai proses libat urus bersama agensi kerajaan pusat dan negeri adalah satu pengiktirafan terhadap komitmen serta keupayaan Dewan Melayu untuk menyampai dan menyelesaikan permasalahan ummah sekaligus menaiktaraf pencapaian usahawan Melayu.

Walaupun kita masih dibayangi oleh ketidaktentuan pandemik Covid-19, dimana kumpulan yang paling terkesan dengan wabak ini pula adalah dari kalangan peniaga kecil dan sederhana Melayu; Dewan Melayu telah menggandakan upaya disamping menyebar-luaskan lagi jaringan kami ke perbagai peringkat teraju kepimpinan serta masyarakat.

Saya sentiasa berdoa dan berharap agar orang Melayu keseluruhannya samada dari kalangan pekerja mahupun peniaga; juga kepada lebih satu juta ahli Dewan Melayu agar dapat terus menyokong misi mujahadah kami, demi Bangsa, Agama dan Negara yang tercinta.

“Berjasa – Berjaya Bangsa”

Dr Haji Abd Halim Husin
Presiden