
Pada 28 Jun 2026, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah menganjurkan Majlis Makan Malam “Jasamu Dikenang” yang berlangsung dengan penuh gemilang di Astana Ballroom, Hotel Grand DarulMakmur, Kuantan, Pahang. Majlis ini merupakan salah satu pengisian sempena Mesyuarat Agung Tahunan DPMM Ke-57.
Majlis ini diadakan sebagai tanda setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan kepimpinan, Ahli Majlis Eksekutif Dewan, Jawatankuasa Pusat, wakil-wakil DPMM Negeri serta seluruh sekretariat yang telah menabur bakti dan memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi sepanjang penggal 2023–2026.
Malam yang penuh bermakna ini bukan sekadar menghimpunkan warga DPMM dalam suasana penuh mesra dan ukhuwah, malah menjadi simbol penghargaan terhadap segala usaha, pengorbanan dan dedikasi yang telah dicurahkan dalam memperkukuh perjuangan DPMM demi memartabatkan ekonomi dan keusahawanan Melayu.
Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan. Semoga segala khidmat bakti sepanjang penggal 2023–2026 akan terus dikenang serta menjadi inspirasi kepada kepimpinan yang akan meneruskan legasi perjuangan DPMM.