30 September 2026 l Anjung Melayu
Semalam, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menerima kunjungan hormat daripada Koperasi Prestij dalam satu sesi perbincangan yang memberi fokus kepada hala tuju koperasi, pembangunan projek serta pengukuhan jaringan perniagaan melalui DPMM.
Kunjungan tersebut telah diterima oleh Timbalan Presiden DPMM, En. Mohd Dzahir bin Jamudin, yang turut membincangkan cadangan Koperasi Prestij untuk menyertai DPMM bagi memperluaskan jaringan perniagaan, akses kepada peluang projek serta membuka ruang kerjasama strategik bersama komuniti perniagaan Bumiputera.
Turut hadir En. Zulkarnaian, yang memegang portfolio Koperasi & Latihan DPMM, bagi memperkukuh perbincangan berkaitan pembangunan dan pengukuhan ekosistem koperasi di bawah DPMM.
Dalam perbincangan, DPMM turut berkongsi peluang penyertaan koperasi dalam portfolio projek dan konsortium DPMM yang merangkumi beberapa sektor strategik seperti tenaga solar, pembinaan, minyak dan gas, halal serta eksport.
Penyertaan dalam jaringan ini berpotensi membuka ruang yang lebih luas kepada koperasi dari aspek kerjasama perniagaan, pembiayaan, akses pasaran dan pembangunan projek.
Perbincangan turut menyentuh usaha memperkukuh ekosistem koperasi di bawah DPMM, termasuk cadangan menghimpunkan koperasi ahli mengikut negeri serta memperkukuh jaringan kerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Secara keseluruhannya, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan proses keahlian Koperasi Prestij dalam DPMM serta meneroka peluang kerjasama yang lebih luas dalam bidang projek, pembiayaan, jaringan strategik dan pembangunan koperasi.
Berjasa, Berjaya, Bangsa.