KUNJUNGAN HORMAT DPMM KE KEMENTERIAN EKONOMI
9 JANUARI 2026 – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Ekonomi bagi mengadakan perbincangan strategik bersama YB Timbalan Menteri Ekonomi Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah berkaitan hala tuju pemerkasaan ekonomi usahawan Melayu dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) secara lebih menyeluruh, terselaras dan berimpak tinggi. Kunjungan ini diketuai oleh Presiden DPMM, Tuan Norsyahrin bin Hamidon, bersama Timbalan Presiden, Encik Amirhamzah bin Karim, serta barisan Jawatankuasa Kepimpinan Pusat DPMM dan kepimpinan DPMM Negeri Pahang.
Antara fokus utama perbincangan yang diketengahkan ialah:
Pelaksanaan Gerakan Ekoniaga MADANI (GEMA) sebagai platform nasional pemerkasaan usahawan, merangkumi latihan, akses pasaran, pembiayaan dan bimbingan berstruktur di peringkat pusat serta negeri
Keperluan pembentukan konsortium strategik perniagaan Melayu bagi mengukuhkan ekosistem, meningkatkan daya saing dan menggalakkan kolaborasi antara PMKS, GLC serta agensi kerajaan
Isu penskalaan PMKS, termasuk akses kepada geran, pembiayaan bersasar, serta penambahbaikan mekanisme pelaksanaan dasar ekonomi agar lebih mesra usahawan di peringkat akar umbi
Cadangan penganjuran program jelajah, pameran perdagangan dan inisiatif kolaborasi rentas agensi, sebagai pemangkin kepada perluasan pasaran dan pengukuhan jaringan perniagaan
Dalam pertemuan ini, DPMM turut menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Ekonomi sebagai rakan strategik dalam menyokong pelaksanaan Agenda Ekonomi MADANI, memperkukuh ekosistem keusahawanan nasional serta memastikan manfaat dasar dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara langsung kepada usahawan di lapangan.
 Bersama, kita membina ekosistem perniagaan Melayu yang mampan, berdaya saing dan berimpak tinggi demi kemakmuran ekonomi negara.