
KUALA LUMPUR, 25 September 2026 — Semalam Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) merangkap Presiden National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia (NCCIM), En. Norsyahrin bin Hamidon, bersama En. Mohd Dzahir bin Jamudin, Timbalan Presiden DPMM merangkap Naib Presiden NCCIM, telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Chilean Premium Buyers di NCCIM.
Turut hadir Dato’ Mazrol Nizam bin Abdullah, Setiausaha Agung DPMM merangkap Setiausaha Agung NCCIM, Mr. Michael Chai, Deputy Secretary General NCCIM, serta Dato’ Saravanan Karathihayan daripada Ministry of Foreign Affairs Malaysia (Kementerian Luar Negeri).
Delegasi Chile yang hadir terdiri daripada Mr. Gonzalo Molina, Mr. Anibal Rojas, Mr. Mario Nunez dan Mr. Osvaldo Cabrera, masing-masing mewakili What’s Alimentos S.A., Comercial Cerrillos S.A., Red Bakery dan Portocs – Chilewest SpA, bersama pegawai penghubung mereka Mr. Muhamad Hairil Kasim, Mdm. Rahmatul Naain, Mr. Muhammad Hussein Abdullah dan Mr. Hairil Kassim.
Kunjungan ini memberi ruang untuk membincangkan potensi perdagangan dan kerjasama perniagaan antara Malaysia dan Chile, khususnya dalam sektor makanan, produk pengguna serta peluang pasaran baharu. Hubungan perdagangan Malaysia-Chile terus menunjukkan perkembangan positif, dengan perdagangan dua hala mencecah RM1.55 bilion bagi Januari hingga September 2025, manakala eksport Malaysia ke Chile meningkat 16.6% kepada RM621.6 juta dalam tempoh tersebut.
Pertemuan ini turut menjadi platform untuk memperkukuh jaringan antara komuniti perniagaan kedua-dua negara serta meneroka peluang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada usahawan dan syarikat Malaysia dalam mengembangkan pasaran ke Chile dan rantau Amerika Latin.
DPMM merakamkan penghargaan kepada MATRADE dan Ministry of Foreign Affairs Malaysia atas sokongan serta usaha dalam memudah cara hubungan perdagangan dan jaringan perniagaan antara Malaysia dan Chile.