Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) hari ini telah mengadakan Kunjungan Hormat serta Taklimat Khas bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membincangkan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 2026 serta pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) – “Lindung 24 Jam”.
Delegasi DPMM diketuai oleh Presiden DPMM, Norsyahrin bin Hamidon, bersama YDP DPMM Negeri Sembilan, Encik Kamaruzaman, serta disertai oleh ahli-ahli DPMM dari Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor.
Pihak PERKESO pula diketuai oleh Deputy Chief Executive (Operations), Encik Azirruan bin Arifin, yang telah menyampaikan penerangan menyeluruh berhubung pindaan akta, manfaat skim serta implikasinya kepada majikan dan pekerja.
Sesi ini memberi peluang kepada ahli-ahli DPMM untuk mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai tanggungjawab majikan, perlindungan sosial pekerja serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan pematuhan terhadap pindaan akta yang bakal dilaksanakan.
DPMM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PERKESO atas kesudian mengadakan sesi perkongsian ilmu ini. Semoga jalinan kerjasama strategik antara DPMM dan PERKESO terus diperkukuhkan demi meningkatkan kesedaran serta kebajikan komuniti usahawan dan majikan di Malaysia.