Sebentar tadi telah berlangsung sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan MYNIC yang diadakan bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam memperkasakan pendigitalan usahawan Bumiputera serta komuniti perniagaan tempatan.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Presiden DPMM, YBrs. Encik Norsyahrin Bin Hamidon, bersama wakil pihak MYNIC iaitu YBhg. Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Berhad serta YBrs. Md Fariz Ahmad Sanusi, Ketua Pegawai Pendayaan Digital MYNIC Berhad.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan meneroka pelbagai inisiatif strategik termasuk pembangunan identiti digital, penggunaan domain tempatan, latihan teknologi serta sokongan kepada agenda Gerakan Ekoniaga Madani (GEMA) sebagai platform memperkasa usahawan Melayu dan Bumiputera ke arah ekonomi digital yang lebih mampan dan berdaya saing.
Sedikit info MYNIC merupakan agensi pengurusan nama domain .my negara yang berperanan penting dalam pembangunan identiti digital serta ekosistem internet Malaysia.
DPMM menyambut baik jalinan kerjasama ini dan berharap ia menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang kerjasama strategik demi memperluaskan manfaat kepada komuniti usahawan di seluruh negara.