Kuala Lumpur | 3 Ogos 2026
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Guangdong Economic & Trade Southeast Asia Office (K.L.) bersama Malaysia China Industry & Commerce Association (MCICA) bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan China.
DPMM diketuai oleh Presiden DPMM, En. Norsyahrin Hamidon, bersama Timbalan Presiden DPMM, En. Dzahir Jamudin, Naib Presiden DPMM, Ar. IDr. Hj. Mohd Azli bin Md Yusof , serta turut disertai oleh barisan ahli-ahli DPMM.
Perbincangan yang berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif memberi tumpuan kepada beberapa agenda strategik, antaranya:
-Memperkukuh perdagangan dua hala antara Malaysia dan China.
-Mengembangkan ekosistem e-dagang bagi membantu usahawan menembusi pasaran antarabangsa.
-Memperluaskan kerjasama dalam pensijilan halal bagi meningkatkan akses produk ke pasaran global.
-Meneroka peluang pertukaran teknologi untuk memperkukuh daya saing perusahaan tempatan melalui inovasi dan pemindahan kepakaran.
Selain itu, pihak MCICA bersama Shanghai MAP turut menjemput DPMM untuk menghadiri Malaysia New Consumption and Retail Brand Summit 2026 yang akan berlangsung pada 3 September 2026. Jemputan ini dilihat sebagai platform penting bagi memperluaskan jaringan perniagaan, meneroka trend pengguna baharu serta membuka peluang kerjasama strategik antara syarikat-syarikat dari Malaysia dan China.
DPMM percaya bahawa hubungan strategik seperti ini mampu membuka lebih banyak peluang kepada usahawan Melayu dan Bumiputera untuk mengembangkan jaringan perniagaan, menarik pelaburan berkualiti serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan serantau.