
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA (DPMM)
17 OKTOBER 2026
DPMM GESA TIKTOK SHOP TANGGUH KENAIKAN KOMISEN, LINDUNGI KEPENTINGAN USAHAWAN TEMPATAN
KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2026 – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) memandang serius pengumuman TikTok Shop berhubung kenaikan kadar komisen bagi beberapa kategori produk yang dijadualkan berkuat kuasa pada 31 Oktober 2026.
Berdasarkan kadar baharu yang diumumkan, komisen bagi beberapa kategori produk akan mengalami peningkatan. Sebagai contoh, bagi penjual Marketplace yang menyertai program BXP dalam kategori penjagaan kulit, kadar komisen akan meningkat daripada 10.80% kepada 14.04%.
Walaupun terdapat kategori barangan keperluan asas yang menikmati pengurangan atau pengekalan kadar, DPMM berpandangan bahawa kesan kenaikan komisen terhadap usahawan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), tidak boleh dipandang ringan.
Peniaga dalam talian hari ini bukan sahaja menanggung komisen jualan, malah turut berdepan pelbagai kos lain termasuk caj transaksi, pengiklanan, komisen affiliate, logistik dan kos operasi harian.
Bagi perniagaan yang beroperasi dengan margin keuntungan kecil, kenaikan komisen ini boleh memberi tekanan yang besar terhadap keuntungan dan kelangsungan perniagaan mereka.
DPMM khuatir sekiranya peningkatan kos ini berterusan, peniaga akhirnya terpaksa menaikkan harga produk, sekali gus memindahkan sebahagian beban tersebut kepada pengguna.
DPMM mengiktiraf sumbangan besar platform seperti TikTok Shop dalam membantu usahawan tempatan mengembangkan pasaran dan meningkatkan jualan. Namun, hubungan antara platform dan peniaga perlu dibina atas prinsip yang adil, telus dan saling menguntungkan.
Sehubungan itu, DPMM menggesa TikTok Shop mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan kadar komisen baharu pada 31 Oktober ini bagi memberi ruang kepada sesi libat urus bersama wakil industri dan persatuan perniagaan.
DPMM turut mengemukakan tiga cadangan utama:
1. Sesi libat urus segera antara TikTok Shop, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta persatuan perniagaan termasuk DPMM, bagi menilai kesan kenaikan komisen terhadap peniaga tempatan sebelum kadar baharu dilaksanakan.
2. Ketelusan dalam penetapan caj platform, termasuk penjelasan mengenai struktur komisen dan caj tambahan serta tempoh notis yang munasabah sebelum sebarang perubahan dilaksanakan.
3. Perlindungan lebih menyeluruh kepada PMKS melalui Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang baharu, termasuk pertimbangan terhadap mekanisme kawal selia yang dapat memastikan amalan perniagaan yang adil antara platform dan penjual.
DPMM turut menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri dalam Belanjawan 2027 mengenai perancangan Kerajaan membentangkan RUU e-Dagang bagi memperkukuh akauntabiliti platform dan melindungi peniaga tempatan daripada persaingan tidak adil.
DPMM berharap agar isu penetapan caj dan komisen platform turut diberikan perhatian dalam penggubalan undang-undang tersebut supaya kepentingan usahawan tempatan dapat dilindungi dalam jangka panjang.
Kita tidak mahu melihat ekonomi digital negara berkembang pesat, tetapi pada masa yang sama usahawan tempatan semakin terhimpit dengan peningkatan kos untuk menjalankan perniagaan.
DPMM bersedia bekerjasama dengan pihak Kerajaan, pengendali platform e-dagang dan semua pemegang taruh bagi mencari penyelesaian yang seimbang demi memastikan ekosistem perniagaan digital Malaysia terus berkembang secara adil, berdaya saing dan mampan.
NORSYAHRIN BIN HAMIDON
Presiden
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM)