
“Reformasi Institusi: Membina Kepercayaan, Memperkukuh Demokrasi”
8 September 2026 | Auditorium Asian International Arbitration Centre (AIAC), Kuala Lumpur
Konvensyen Pendanaan Politik 2026 telah berlangsung semalam dan dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Konvensyen ini menghimpunkan seramai 140 peserta yang terdiri daripada wakil parti politik, agensi Kerajaan, ahli akademik, NGO, CSO dan Badan Peguam dalam membincangkan hala tuju serta keperluan reformasi pendanaan politik di Malaysia.
Penganjuran konvensyen ini merupakan sebahagian daripada usaha Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam menyediakan kerangka perundangan pendanaan politik yang lebih menyeluruh, khususnya melalui cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.
Perbincangan kemudiannya diteruskan menerusi forum “Reformasi Pendanaan Politik: Mengimbangi Ketelusan, Akauntabiliti dan Penyertaan Demokratik”, yang menghimpunkan wakil daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Transparency International Malaysia (TI), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) serta IDEAS sebagai moderator.
Mewakili DPMM, Dato’ Mazrol Nizam bin Abdullah, Setiausaha Agung DPMM, telah dijemput sebagai panelis untuk berkongsi pandangan daripada perspektif dunia perniagaan mengenai cabaran dan keperluan memperkukuh sistem pendanaan politik yang lebih telus, berakauntabiliti dan berintegriti.
DPMM terus komited untuk menyumbang pandangan sektor perniagaan dalam perbincangan dasar dan reformasi institusi demi membina ekosistem perniagaan serta tadbir urus negara yang lebih kukuh.
.
Reformasi institusi memerlukan kepercayaan. Kepercayaan pula dibina melalui ketelusan, akauntabiliti dan integriti.