
DPMM BERSAMA BAKER TILLY TEROKA PELUANG KERJASAMA DALAM IPO DAN NASIHAT KORPORAT
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah mengadakan mesyuarat bersama Baker Tilly bagi membincangkan potensi kerjasama dalam bidang Pre-Initial Public Offering (Pre-IPO), Initial Public Offering (IPO), perkhidmatan audit serta khidmat nasihat korporat.
Kunjungan hormat ini dipengerusikan oleh En. Dzahir bin Jamudin, Timbalan Presiden DPMM, dan turut dihadiri oleh En. Zulkarnain, Ahli Majlis Eksekutif DPMM.
Dalam mesyuarat tersebut, pihak Baker Tilly berkongsi kepakaran dan peranan mereka sebagai firma perkhidmatan profesional yang menawarkan perkhidmatan audit dan jaminan, percukaian serta khidmat nasihat perniagaan. Perbincangan turut menyentuh proses penyenaraian di Bursa Malaysia, manfaat IPO kepada syarikat serta peranan Reporting Accountant dalam menyokong proses penyenaraian.
Pihak DPMM turut membangkitkan persoalan mengenai kesesuaian syarikat bersaiz sederhana untuk menjalani proses IPO, khususnya dari segi tahap kesiapsiagaan, pematuhan dan keperluan yang perlu dipenuhi sebelum penyenaraian.
Selain itu, Baker Tilly memaklumkan bahawa pihaknya turut menganjurkan program penerangan secara percuma bagi membantu syarikat memahami proses IPO, keperluan berkaitan serta peluang yang ditawarkan melalui pasaran modal.
Mesyuarat turut membincangkan cadangan penganjuran program kesedaran dan penerangan berkaitan IPO khusus untuk ahli DPMM. Cadangan ini akan diteliti dengan mengambil kira penyelarasan bersama Bursa Malaysia bagi memastikan pelaksanaannya bersesuaian dengan perancangan pihak berkaitan.
Perbincangan ini merupakan langkah awal dalam meneroka peluang kerjasama strategik antara DPMM dan Baker Tilly bagi meningkatkan pengetahuan korporat ahli serta membantu syarikat Bumiputera yang berpotensi membuat persediaan untuk berkembang melalui pasaran modal.
DPMM komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama strategik, memperkukuh tadbir urus korporat dan membuka lebih banyak peluang pertumbuhan kepada syarikat Bumiputera.
#DPMM #BakerTilly #IPO #PasaranModal #UsahawanBumiputera #TadbirUrusKorporat