
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) hari ini mengadakan perbincangan lanjutan bersama Astro AWANI bagi memperkukuh kerjasama dalam menjayakan Jiwa SME dan Gerakan Ekoniaga Madani (GEMA) sebagai platform memperkasa serta memperluas peluang kepada usahawan Malaysia.
Pertemuan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden DPMM, En. Mohd Dzahir bin Jamudin, dan turut dihadiri En. Kamaruzaman, YDP DPMM Negeri Sembilan, serta Ahli Majlis Eksekutif DPMM, Hj. Salim bin Ahmad, En. Hisham Abdul Hamid dan En. Zulkarnaian.
Turut hadir mewakili Astro AWANI ialah Miss Cherish Leow, Senior Assistant Vice President, Executive Editor, Editorial Commercial.
Antara fokus utama perbincangan adalah persediaan Jiwa SME Kedah (Finale) yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober 2026 di Aman Central, Alor Setar, dengan tema “Ekonomi Kopi & Budaya Kafe”.
Program ini bakal menghimpunkan sekitar 30–35 booth usahawan, selain pengisian seperti pitching, sesi perkongsian, podcast, aroma station dan aktiviti pentas.
Dalam masa sama, perbincangan turut memberi tumpuan kepada bagaimana Jiwa SME dan GEMA dapat disinergikan dari aspek promosi, kandungan, liputan media, pemasaran digital dan penglibatan usahawan.
Antara cadangan yang turut diketengahkan ialah membantu usahawan mikro dan PKS meningkatkan keupayaan dalam penggunaan AI, pemasaran digital dan TikTok Live, di samping memperluas exposure perniagaan melalui platform media DPMM dan Astro AWANI.
Kerjasama ini turut membuka ruang kepada perancangan Jiwa SME 2027 yang akan melibatkan beberapa zon atau wilayah, selari dengan usaha DPMM memperluas jaringan dan impak GEMA ke seluruh negara.
Melalui kerjasama DPMM x Astro AWANI, Jiwa SME dan GEMA diharap dapat terus menjadi platform yang menghubungkan usahawan dengan peluang, pasaran, teknologi, media dan jaringan perniagaan yang lebih luas.
Bersama memperkasa usahawan.
Bersama menggerakkan Ekoniaga Madani.