
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah mengadakan sesi perbincangan bersama Hijrah Water dan Hanuris Food bagi mendengar perkongsian mengenai produk, keperluan pembiayaan serta cabaran yang dihadapi oleh kedua-dua syarikat dalam mengembangkan perniagaan masing-masing.
Sesi perbincangan tersebut telah dipengerusikan oleh Timbalan Presiden DPMM, En. Mohd Dzahir bin Jamudin, dan turut dihadiri oleh Ahli Majlis Eksekutif Dewan, En. Zulkarnaian.
Dalam sesi tersebut, Hijrah Water dan Hanuris Food telah memperkenalkan produk serta perniagaan masing-masing, di samping menjelaskan keperluan dana bagi menyokong perkembangan operasi dan meningkatkan daya saing syarikat.
Hanuris Food berkongsi hasrat untuk memperluas premis perniagaan serta menyediakan ruang pengeluaran yang lebih besar bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran. Keperluan pembiayaan ini penting bagi membolehkan syarikat memperkukuh keupayaan operasi dan memenuhi permintaan pasaran. Walau bagaimanapun, kekangan kapasiti sedia ada menjadi antara cabaran utama dalam usaha membekalkan produk mengikut jumlah yang diperlukan.
Perbincangan ini memberi peluang kepada DPMM untuk memahami dengan lebih dekat keperluan pembiayaan dan cabaran yang dihadapi oleh kedua-dua syarikat, khususnya dalam aspek pengembangan operasi, peningkatan kapasiti pengeluaran dan usaha memenuhi permintaan pasaran.
DPMM komited untuk terus menjadi platform penghubung antara komuniti perniagaan dengan pihak berkaitan dalam usaha memahami keperluan usahawan serta meneroka peluang sokongan yang dapat membantu perkembangan, kelestarian dan daya saing perusahaan Bumiputera.