Halatuju:
DEWAN MELAYU terus memperjuangkan misi mengangkat maruah dan martabat bangsa Melayu dalam
ekonomi Negara dan antarabangsa. Imej, peranan dan keberkesanannya semakin diakui oleh pemimpin
Negara. DEWAN MELAYU juga turut diminta membantu kerajaan terutamanya dalam isu-isu yang menyentuh
kepentingan masyarakat pengusaha dan peniaga Melayu.
DEWAN telah diberi kepercayaan untuk menjadi sekretariat yang memandu dan memantau ekonomi Melayu
dengan tertubuhnya Sekretariat Agenda Ekonomi Melayu (SAEM). Di samping itu, DEWAN juga telah
bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan untuk menganjur Kongres Ekonomi Bumiputera
Keempat (KEB4) pada 10 dan 11 September 1999.
Selain daripada itu, hasil perjuangan berterusan DEWAN ialah membela nasib usahawan Melayu yang terjejas akibat kemelesetan dan kegawatan ekonomi Malaysia. Maka lahirlah Tabung Pemulihan Usahawan (TPU) dan Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB) lanjutan daripada memorandum DEWAN MELAYU kepada pemimpin Negara.
Visi & Misi:
DEWAN MELAYU adalah sebuah organisasi yang berjuang demi menyatupadukan peniaga dan pengusaha Melayu untuk kepentingan dan faedah ekonomi Melayu. Tujuan DEWAN MELAYU adalah seperti berikut:-
Menyatupadukan peniaga dan ikhtisas Melayu untuk kepentingan dan faedah ekonomi Melayu
Meningkatkan maruah dan kecemerlangan bangsa Melayu khususnya dalam bidang ekonomi diperingkat negeri, negara dan antarabangsa
Menjadi wadah perjuangan ekonomi bangsa Melayu
Mempastikan terjaminnya kepentingan Ahli di dalam undang-undang yang digubal atau dipinda di Malaysia yang berkaitan dengan perniagaan
Menentukan aktiviti DPMM Negeri dan Ahli Bergabung adalah selaras dengan asas dan tujuan Dewan
Menerbitkan majlah dan risalah, serta menyediakan laman web yang berkaitan dengan perniagaan.
Membantu atau mewakili Ahli di dalam perbincangan berkenaan perdagangan, pembelian, penjualan dan lain-lain sama ada di dalam atau luar Malaysia
Membuat perhubungan atau kerjasama dengan lain-lain badan atau persatuan yang mempunyai tujuan yang sama dengan Dewan
Membeli, menjual, menggadai, memajak, memiliki, menyewa, pindah hak milik, menyerah, memaju dan membuat lain-lain urusan yang bersangkutan dengan harta alih dan tak alih
Mengeluarkan Sijil Tempasal (Certificate of Origin) atau lain-lain sijil keatas barangan yang dieksport dari Malaysia dan membuat sebarang pengesahan mengikut peraturan yang ditetapkan dari semasa ke semasa