4 November 2026 | Kuala Lumpur
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah menerima kunjungan hormat delegasi Australian High Commission yang diketuai oleh Puan Sally Etherington, Senior Treasury Representative for Southeast Asia merangkap Minister-Counsellor.
Delegasi tersebut telah disambut oleh Timbalan Presiden DPMM, En. Dzahir Jamudin yang mewakili Presiden DPMM. Turut hadir ialah En. Salim, Ahli Majlis Eksekutif Dewan serta Puan Rohani daripada JKN DPMM Putrajaya.
Kunjungan ini bertujuan untuk bertukar pandangan dan mendapatkan perspektif sektor perniagaan Malaysia berhubung perkembangan ekonomi semasa serta cabaran yang dihadapi oleh syarikat tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk:
1. Impak Belanjawan dan Kos Operasi – Kesan dasar Belanjawan, percukaian serta peningkatan kos tenaga kerja dan operasi terhadap kelangsungan perniagaan.
2. Bakat, Kemahiran dan Pelaburan – Cabaran yang dihadapi syarikat Malaysia, termasuk sektor pembuatan dan PMKS dalam mendapatkan tenaga kerja berkemahiran serta menarik pelaburan.
3. Persaingan Perdagangan Global – Kesan tarif, persaingan daripada produk China dan lebihan kapasiti pengeluaran terhadap industri tempatan, termasuk sektor peruncitan dan e-dagang.
Pertemuan ini turut membuka ruang kepada perkongsian perspektif antara DPMM dan pihak Australian High Commission dalam memahami landskap ekonomi serta cabaran sebenar yang dihadapi oleh komuniti perniagaan Malaysia.
DPMM komited untuk terus memperkukuh hubungan strategik dengan rakan antarabangsa serta membawa suara dan kepentingan usahawan Melayu dan Bumiputera ke peringkat yang lebih luas.