
2 November 2026 – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) telah menerima kunjungan hormat daripada Kedutaan Republik Arab Mesir bagi membincangkan peluang untuk memperkukuh hubungan perdagangan dua hala, pelaburan serta kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Mesir.
Pertemuan yang diketuai oleh Presiden NCCIM, Tn. Norsyahrin Hamidon, telah meneroka beberapa bidang kerjasama yang berpotensi, termasuk pemprosesan makanan, industri halal, tenaga boleh baharu, pendigitalan, teknologi serta pembangunan kemahiran.
Antara perkara utama yang menjadi tumpuan perbincangan ialah usaha mengaktifkan semula Malaysia–Egypt Business Council (MEBC) sebagai platform penting bagi memperkukuh hubungan perniagaan antara kedua-dua negara, memudah cara peluang pelaburan serta menyediakan saluran kepada sektor swasta untuk menyampaikan pandangan dan cadangan kepada kerajaan kedua-dua negara.
Kedua-dua pihak turut meneroka inisiatif praktikal bagi meningkatkan penglibatan komuniti perniagaan, termasuk penganjuran sesi taklimat perniagaan dan padanan perniagaan (business matching), pertukaran maklumat perniagaan serta memudah cara potensi lawatan delegasi perniagaan Malaysia ke Mesir, termasuk meneroka peluang di Zon Ekonomi Terusan Suez (Suez Canal Economic Zone).
NCCIM menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan Kedutaan Republik Arab Mesir dalam usaha mempromosikan hubungan perdagangan dan perkongsian komersial yang lebih kukuh antara kedua-dua negara.
Pertemuan ini merupakan satu langkah positif ke arah mempererat hubungan perniagaan Malaysia-Mesir serta menterjemahkan hubungan baik antara kedua-dua negara kepada peluang ekonomi yang lebih konkrit dan memberi manfaat kepada komuniti perniagaan kedua-dua negara.
Delegasi Kedutaan Republik Arab Mesir diketuai oleh TYT Dr. Karim Elsadat, Duta Besar, bersama beberapa pegawai daripada Pejabat Komersial Kedutaan.
NCCIM pula diwakili oleh:
- En. Norsyahrin Hamidon – Presiden NCCIM
- En. Dzahir Jamudin – Naib Presiden NCCIM
- Mr. Michael Chai – Setiausaha Agung NCCIM