10 Ogos 2026 | Isnin | Pejabat DPMM Selangor
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) hari ini telah mengadakan pertemuan bersama Bahagian Penyelidikan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat DPMM Selangor bagi membincangkan usaha memperkukuh kesedaran serta membudayakan integriti dan antirasuah dalam kalangan warga DPMM.
Pertemuan ini turut dihadiri oleh Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon, Naib Presiden DPMM, Ar. IDr. Hj. Mohd Azli bin Md Yusof, Bendahari Agung DPMM, Hj. Hamzah Paravil, serta beberapa ahli DPMM.
Antara perkara utama yang dibincangkan adalah hasil Mesyuarat Kaukus Antirasuah, termasuk cadangan pihak SPRM untuk mengadakan Program Kesedaran Antirasuah dengan kerjasama dan penglibatan pihak SPRM.
Program ini dicadangkan untuk dilaksanakan dalam bentuk bengkel atau forum kesedaran antirasuah, yang kemudiannya disusuli dengan pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komitmen bersama dalam menolak sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa.
Pelaksanaan program akan dimulakan di DPMM Pusat sebelum diperluaskan secara berperingkat ke setiap cawangan DPMM di seluruh negara.
DPMM melihat inisiatif ini sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus, integriti dan akauntabiliti, khususnya dalam membentuk ekosistem perniagaan yang berteraskan amanah serta bebas daripada amalan rasuah.
Integriti bukan sekadar prinsip, tetapi budaya yang perlu dipertahankan bersama.