
5 Ogos 2026 | Selasa | Parlimen Malaysia
Semalam Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah menghadiri Persidangan Meja Bulat Korporat: Memperkukuh Pembinaan Negara Bangsa yang berlangsung di Parlimen Malaysia di bawah pengerusian Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari Abdul, serta dianjurkan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri.
Persidangan ini menghimpunkan kepimpinan tertinggi daripada pelbagai organisasi korporat sebagai platform strategik untuk bertukar pandangan, berkongsi idea serta memperkukuh kerjasama dalam usaha memperkasakan agenda pembinaan negara bangsa.
Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Dato’ Dr. Roslan bin Hussin, telah mengetuai usaha AKM dalam memperkukuh potensi kolaborasi strategik bersama sektor korporat. Sesi perbincangan yang berlangsung secara konstruktif telah membuka ruang kepada pelbagai cadangan, perkongsian kepakaran serta inisiatif yang berpotensi dilaksanakan secara bersama pada masa hadapan.
DPMM telah diwakili oleh Naib Presiden DPMM, Tn. Ar. Hj. Mohd Azli bin Md. Yusof, yang menzahirkan komitmen Dewan dalam menyokong usaha memperkukuh pembinaan negara bangsa melalui kerjasama erat antara sektor kerajaan, korporat dan komuniti perniagaan.
Sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan pembangunan ekonomi Bumiputera dan memperkasa usahawan Melayu, DPMM percaya bahawa pembinaan negara bangsa yang kukuh memerlukan sinergi berterusan antara semua pihak. DPMM komited untuk terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan dalam memperkasakan pembangunan ekonomi, memperluas jaringan kerjasama serta menyumbang kepada kemakmuran negara secara mampan.