
KUANTAN, PAHANG – Majlis Perasmian Gerakan Ekoniaga Madani (GEMA) Peringkat Negeri Pahang telah disempurnakan oleh Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, YBhg. Norsyahrin bin Hamidon di Grand Darul Makmur Hotel, Kuantan menerusi penganjuran bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Pahang dan Majlis Amanah Rakyat Negeri Pahang.
Program jelajah GEMA kali ini berjaya menghimpunkan lebih 200 usahawan dan ahli perniagaan dari seluruh daerah di Negeri Pahang dalam usaha memperkukuh jaringan, perkongsian ilmu serta memperluaskan akses kepada pelbagai peluang pembangunan ekonomi dan keusahawanan Bumiputera. Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada Pengarah MARA Negeri Pahang, Tuan Haji Soffian Mustafa, Timbalan Pengarah serta seluruh warga MARA Negeri Pahang atas komitmen dan kerjasama erat dalam menjayakan program ini. Tahniah turut diberikan kepada pasukan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Pahang yang diketuai oleh En Yusri bin Yusof atas komitmen tinggi dalam memastikan perjalanan program berlangsung dengan lancar serta memberi manfaat besar kepada komuniti usahawan tempatan.
Antara pengisian utama Gerakan Ekoniaga Madani (GEMA) Peringkat Negeri Pahang termasuk sesi taklimat, forum keusahawanan serta pameran melibatkan pelbagai rakan strategik seperti Pusat Kutipan Zakat Pahang, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Pahang, MATRADE HQ Wilayah Timur, Bank Simpanan Nasional Pahang, TEKUN Nasional Pahang, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad Pahang, SIRIM Berhad Pahang serta RCB. Pengarah MARA Negeri Pahang, Tuan Haji Soffian Mustafa turut menyampaikan taklimat khas kepada para peserta berkaitan peluang pembangunan dan sokongan kepada usahawan Bumiputera di negeri ini.
Turut hadir mengiringi Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia ialah Setiausaha Agung Dato’ Mazrol Nizam, Bendahari Agung Muhammed Farhan Basheer serta Ahli MED Dzahir Jamudin dan Hamzah Paravil. Semoga program Gerakan Ekoniaga Madani (GEMA) terus menjadi platform strategik dalam memperkasakan usahawan Melayu dan Bumiputera serta memperkukuh agenda ekonomi Madani di seluruh negara.