STRATEGI TERSEMBUNYI PENJAJAH DI SEBALIK SEJARAH TERUSAN BAN KENAL DALAM KONTEKS KRISIS BEKALAN BERAS MALAYA DALAM ERA KOLONIAL BRITISH DI TANAH MELAYU
 
1.0 MUKADIMAH
Video yang dipaparkan di bawah, ialah sebuah siaran publisiti massa pihak pentadbiran British yang berusaha mengubah dasar yang dahulunya sebelum Perang Dunia Kedua sangat mendiskriminasikan hak masyarakat Melayu. Ini adalah sebahagian strategi mereka mengembalikan keyakinan penduduk Negeri di Tanah Melayu menuju pembentukan Malayan Union atau Persekutuan Malaya pada tahun 1946.
 
 
British sebenarnya secara tidak langsung mengusir Tentera Jepun dari Tanah Melayu sewaktu Maharaja Jepun mengarahkan tenteranya berundur dan mengaku kalah apabila Tentera Bersekutu mengugut dengan kekuasaan Senjata Pemusnah Massa (Weapon of Mass Destruction) melepaskan Bom Atom di Hiroshima dan Nagasaki yang membunuh rakyat awam Jepun.
 
Sebelum penaklukan Jepun, kronologi sejarah merekodkan penguasaan Penjajah Barat ke atas Tanah Melayu bermula sejak keruntuhan Empayar Melaka pada tahun 1511 Masehi, sehinggalah akhirnya pihak British berjaya mengambilalih kekuasaan di Semenajung Tanah Melayu pada tahun 1870an dan menjadikan Perak dan Selangor sebagai negeri penjana ekonomi kolonial melalui aktiviti perlombongan dan perladangan.
 
Dalam konteks pertanian luar bandar sebelum campur tangan penjajah, aktiviti pertanian tidak terkhusus secara berlebihan kepada penghasilan produk pertanian komoditi. Sebaliknya aktiviti pertanian dijalankan secara integrasi dan amat lestari. Integrasi di sini bermaksud, selain mengusahakan tanaman padi, kebun kelapa, buah-buahan atau sayur-sayuran; para petani turut mengusahakan aktiviti sampingan seperti membela haiwan ternakan, menangkap ikan sungai, mengambil hasil hutan mengikut keperluan semasa serta kerja pertukangan atau rakyatnya mengambil upah kerja dari tuan tanah bagi aktiviti-aktiviti tersebut yang mendukungi perkembangan ekonomi luar bandar secara mampan.
 
Budaya & ilmu kelestarian dalam usaha pertanian di Tanah Melayu sebenarnya telah berlangsung sekian lama dan menjadi legasi sejak berkurun lalu. Kehadiran penjajah sekadar mengambil kesempatan atas kemakmuran bumi Melayu yang subur dan kaya dengan hasil sumber aslinya untuk kepentingan mereka. Di bawah pentadbiran British, 9 anak pokok getah pertama tiba di Kuala Kangsar pada tahun 1877 menandakan permulaan Industri Getah Asli bertapak di Tanah Melayu. Di sebalik peristiwa tersebut, tersembunyi sikap kapitalis kolonial yang jarang kita kaji.
Di dalam artikel ini, saya akan menjelaskan kronologi sejarah yang membawa kepada pembinaan sebuah terusan di Sabak Bernam yang dibangunkan pada zaman penjajahan British di Tanah Melayu. Pembinaannya bermula sekitar tahun 1932 dan kini dipanggil oleh penduduk tempatan sebagai ‘Bangkenal’ atau ‘Ban Kenal’ yang mungkin diambil dari perkataan asal ‘Ban Canal’.
Tujuan penulisan ini ialah untuk menjelaskan asal usul mengapa ianya dibina serta mempelajari corak pemikiran strategik British ketika itu dan bukan bertujuan mengagungkan usaha Pentadbiran British pada waktu itu.
 
2.0 KRISIS IDEOLOGI POLITIK & PERANG DUNIA DI EROPAH
 
Manipulasi sumber asli oleh para penjajah di Tanah Melayu dan jajahan takluk mereka yang lain pada dasarnya adalah usaha untuk mengukuhkan ekonomi empayar-empayar Eropah itu sendiri dalam mengukuhkan ekonomi empayar-empayar Eropah itu sendiri dalam usaha mereka menguasai benua Eropah dan Asia sejak kurun ke 15M lagi. Pada penghujung kurun ke 19, ideologi politik Eropah mula tercabang antara ideologi kapitalis Barat yang berpusat di Britain dan ideologi sosialis oleh German/Rusia yang mula menguasai Blok Timur Eropah dan mengancam penguasaan kapitalis.
 
 Lantaran itu, sekitar tahun 1910an, kemelut Perang Dunia Pertama yang tercetus telah menjadi punca kerahan eksploitasi sumber daya dari Tanah Melayu bagi menampung keperluan mengimbangi krisis ekonomi Empayar British yang berpusat di Eropah akibat perang dunia tersebut.
Sekitar tahun 1905an sehingga penghujung dekadnya, perusahaan bijih timah dan ladang getah berkembang dan kegunaan tanah di Tanah Melayu tertumpu kepada usaha tersebut. Pada tahun 1917, eksport hasil dari Negeri-Negeri Tanah Melayu direkodkan berjumlah USD 271.5 Juta (100 tahun lalu) yang hampir bersamaan USD 70 Billion pada nilai semasa hari ini.
 
Hasil Negara yang dianggap sangat besar pada zaman itu hanya memberikan faedah besar kepada Empayar British. Keghairahan British menumpukan pada perladangan getah telah mengakibatkan kemerosotan hasil pertanian makanan dari usaha sawah padi dan beras di Tanah Melayu menjelang tahun 1913. Ini mengakibatkan keperluan mengimport beras dari Siam, Burma serta Indo-Cina dan secara tidak langsungnya kenaikan drastik harga beras pasaran kerana nasi adalah makanan ruji penduduk Tanah Melayu.
 
Kealpaan British mencongak situasi membuktikan kepincangan pentadbiran mereka sehingga berlakunya ‘The Great Malayan Rice Shortage 1913 – 1921’, selain kegagalan menstabilkan harga komoditi bijih timah yang sebelum itu turut menjadi tumpuan ekonomi pentadbiran British. Kegagalan tersebut menyebabkan Tanah Melayu mengalami Krisis Kegawatan Ekonominya yang pertama kerana pentadbiran British gagal mengintegrasikan sumber alam Tanah Melayu secara mampan. Ianya bertambah buruk kerana Amerika Syarikat pula memperkenalkan dasar luarnya mengekang import barangan luar untuk menstabilkan ekonomi mereka sendiri, hingga merekodkan lebihan import Negeri-Negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu di bawah pentadbiran British.
 
Rekod sejarah menunjukkan pihak British gagal mengurus hasil dengan baik sewaktu menjana pendapatan besar pra-krisis sekitar tahun 1915 seperti menggunakan bajet pembangunan berlebihan atau yang tidak diperlukan. Ini secara tidak langsung memberi petunjuk ketirisan dari aktiviti rasuah di bawah pentadbiran British yang mungkin tidak direkodkan. Selain itu, sebahagian hasil pendapatan besar di Negeri-Negeri Tanah Melayu ketika itu yang berjumlah USD 40.25 Juta (USD 10 Billion nilai semasa) dihadiahkan kepada Empayar British untuk menampung kehilangan kos mereka sewaktu Perang Dunia Pertamanya di Eropah dan bukan mempertahankan Negeri-Negeri Persekutuan Tanah Melayu.
 
3.0 KESAN SAMPINGAN PETANIAN LUAR BANDAR
 
Dasar pentadbiran British pada awal kurun ke-20 di Tanah Melayu yang menumpukan kepada perusahaan pertanian berasaskan komoditi termasuk mengklasifikasikan kadar sewaan bendang padi dan tanaman kelapa lebih rendah berbanding kebun getah, petani dan pekebun kecil telah menukarkan aktiviti gunatanah mereka kepada tanaman getah. Akibat daripada itu, menjelang penghujung tahun 1920, kadar purata beras yang diimport dari luar berjumlah 190,000 ton setahun, bersamaan hampir 82% daripada kadar kegunaan tahunan Negeri-Negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu pada waktu itu.
 
Walaupun pentadbiran British cuba mengekangnya dengan memperkenalkan enakmen kawalan serta strategi menanam padi bukit bagi mengelakkan krisis bekalan makanan, ianya sudah terlambat disebabkan beberapa faktor luaran tak terjangka hingga menyebabkan prodiktiviti beras tempatan gagal mencapai matlamatnya sewaktu kemuncak krisis bekalan beras.
 
Ekoran daripada krisis bekalan makanan dan peralihan gunatanah daripada sawah bendang kepada perladangan getah, pentadbiran British perlu mencari jalan penyelesaian jangka panjang daripada masalah yang mereka cipta sendiri. Pada awal tahun 1921, pihak British mula mengenalpasti kawasan tidak berpenduduk untuk dimajukan sebagai sumber estet pertanian Eropah untuk mengatasi krisis tersebut. Sabak Bernam, sebuah kawasan di utara Daerah Kuala Selangor yang berpersisiran dengan laut Selat Melaka dan bersempadan dengan Perak telah dikenalpasti. Namun pada peringkat awal, potensinya diragui kerana Sabak Bernam pada waktu itu ialah kawasan hutan berpaya yang sering dilanda banjir sewaktu air pasang besar dan tidak sesuai untuk tanaman padi. 
 
Pihak British pula enggan membiayai infrastruktur kerana menerima tekanan Persatuan Peladang Selangor yang terdiri daripada pemegang taruh usahawan Eropah yang tidak mahu tanah baru dibuka pemilikan kepada penduduk tempatan yang terdiri daripada orang Melayu. Disebabkan kebanyakan kawasan pertanian yang sesuai sama ada telah dipegang oleh pemilik ladang getah British atau telah digunakan untuk tanaman lain, usaha meneroka kawasan yang kurang sesuai terpaksa dilakukan masyarakat Melayu untuk menampung peningkatan keperluan mereka.
Pada peringkat awal, pihak British sengaja membiarkan komuniti Melayu tempatan serta pendatang Melayu dari Tanah Jawa yang berhijrah ke Sabak Bernam menerokai kawasan berpaya tersebut secara haram bagi mengusahakan secara kecil-kecilan pertanian bukan komoditi seperti padi atau tanaman kampung. 
 
Pentadbiran British secara diam-diam berjaya mengurangkan keperluan import bekalan makanan untuk kegunaan buruh India dan Cina mereka yang dibawa pengusaha British untuk bekerja di ladang getah dan lombong bijih timah berdekatan. Dapat kita simpulkan di sini, usaha perladangan komoditi serta perusahaan bijih timah tidak akan diberikan kepada orang Melayu kerana hasil sumber daya berpendapatan tinggi dimonopoli British dan buruh murah pula diambil dari pendatang luar bukan Melayu supaya mudah dieksploitasi.
 
4.0 INFRASTRUKTUR TERUSAN BAN KENAL DI SABAK BERNAM
 
Membiarkan penerokaan kawasan baharu secara haram sejak tahun 1920an di Sabak Bernam untuk tanaman padi, British mulanya enggan menyediakan infrastruktur dan membiarkan orang-orang Melayu tempatan dan masyarakat Jawa yang berhijrah memulakannya. Aktiviti penerokaan tanah yang pesat memaksa Pejabat Daerah Kuala Selangor kemudiannya memperkenalkan kawasan yang diteroka sebagai Rizab Melayu Sungai Lang (sekarang ialah Parit Baru), untuk diberikan kepada penduduk Melayu tempatan dengan yuran pajakan bersyarat tanpa pembayaran premium untuk tanaman padi sahaja bagi mengawal aktiviti pertanian yang dibenarkan. 
 
Dalam masa sama, pihak British meluluskan aktiviti pembinaan infrastruktur terusan untuk tujuan pengairan kawasan sawah, namun kerja-kerja tersebut dibina sendiri oleh masyarakat setempat yang berhasrat meneroka kawasan tersebut secara bergotong-royong. Aktiviti penerokaan di Parit Baru kemudiannya membawa penghijrahan pelbagai lagi etnik Melayu dari Jawa dan mereka mudah berasimilasi dengan Melayu tempatan di Sabak Bernam menjelang penghujung tahun 1930an.
Walau bagaimanapun, masalah utama penduduk ialah banjir yang masih kerap berlaku kerana kedudukan Parit Baru di kawasan berpaya pesisir laut.
 
Mereka berusaha membina saliran air melalui terusan panjang menggunakan tenaga manusia sepanjang kira-kira 30.0 km. Pembinaan terusan secara manual tanpa bantuan mesin mengambil masa selama 5 tahun, namun hasilnya tidak memuaskan. Penduduk setempat mula beralih kepada penanaman kelapa dan getah yang lebih sesuai dengan muka bumi di situ selain masalah kejatuhan pasaran harga beras tempatan berbanding kelapa pada waktu itu. Aduan turut dibuat mengatakan penduduk tempatan mengusahakan ladang getah secara haram oleh persatuan peladang yang dikuasai usahawan British tidak disenangi pentadbiran British. Ekoran dari itu, Pejabat Daerah Kuala Selangor diarahkan menaikkan yuran pajakan dan bayaran premium yang sebelumnya percuma telah dikenakan pula pada jumlah yang lebih tinggi.
 
Disebabkan aktiviti perladangan getah secara haram tidak dapat dibendung serta menggugat kestabilan pasaran getah yang mereka kuasai selain kerugian kerana terpaksa mengimport beras dari luar untuk bekalan buruh asing mereka, pentadbiran British terpaksa meluluskan pembiayaan projek membina ban pesisir pantai dan projek terusan saliran sawah padi yang bermula pada tahun 1937 bagi memastikan penduduk tempatan terus fokus mengusahakan sawah bendang mereka. Namun akibat kekurangan dana, projek tersebut dihentikan pada tahun 1939 kerana Empayar British sedang berhadapan permulaan krisis peperangan yang meletus di Eropah.
 
Pada tahun 1945, selepas Perang Dunia Kedua projek membina terusan tersebut bersambung dan siap sepanjang 83.6 km dalam hanya tempoh 8 tahun kerana ianya dibantu penggunaan mesin kapal pengorek berteknologi tinggi pada waktu itu. Projek tersebut dikenali hari ini sebagai Terusan Ban Kenal. Selepas keseluruhan Terusan Ban Kenal tersebut siap beroperasi sepanjang 114.0 km, masalah banjir di Parit Baru telah berkurangan dan kini kawasan tersebut menjadi sebahagian kawasan jelapang Negeri Selangor. Dengan tiadanya masalah banjir, lebih ramai peneroka berhijrah ke kawasan-kawasan baharu di Sabak Bernam untuk mengusahakan sawah.
 
5.0 PELAJARAN DARI STRATEGI BRITISH
 
Ramai yang beranggapan Terusan Ban Kenal dibina pentadbiran British pada waktu itu sebagai sistem pengurusan air ke sawah bendang tetapi dari segi strategiknya, selain menangani isu banjir, Terusan Ban Kenal secara tidak langsung mengelakkan penglibatan penduduk setempat dalam usaha penanaman getah sebagai hasil komoditi yang dimonopoli usahawan British ketika itu.
 
Pihak pentadbiran British dengan pemikiran kapitalisnya telah memanipulasi sumber tenaga komuniti peneroka yang ingin mencari penempatan baru di lembah Terusan Ban Kenal. Cerapan maklumat dari video menyatakan bayaran minima sebanyak USD150.00 dan imbalan pemilikan 3.0 ekar bendang setiap peneroka ditawarkan jika menjadi buruh bagi melapangkan kawasan hutan paya seluas 320,000 ekar tersebut sebelum pembinaan terusan dapat dibuat menggunakan mesin kapal korek yang dipantau seorang jurutera British. Berapa jumlah peneroka terlibat, berapa jumlah tanah yang diberikan atau berapa nilai premium dan yuran pajakan dikenakan tidak dinyatakan dalam video tersebut.
 
Pihak British pula diyakini secara tidak langsungnya bukan menggunakan bajet pembangunan negeri untuk membiayai projek tersebut, sebaliknya mengambil hasil hutan dari penerokaan kawasan baharu yang diusahakan peneroka dan sebahagian jualan hasil hutan tersebut digunakan untuk membayar gaji buruh yang bekerja. Itulah sebabnya menurut orang-orang lama, mereka mendengar cerita terusan tersebut pernah katanya digunakan untuk menghanyutkan balak yang telah ditebang menuju ke satu destinasi, di mana kerja-kerja pungutan dilakukan di situ sebelum diangkut menggunakan lori. Strategi pembiayaan projek secara subsidi bersilang (cross-subsidy fund) mungkin sesuatu yang belum difahami oleh masyarakat tempatan pada waktu itu.
 
6.0 KESIMPULAN
 
Projek Terusan Ban Kenal dimajukan di bawah Skim Pengairan Tanjong Karang (Tanjong Karang Irrigation Scheme) yang diurus oleh Malayan Department of Irrigation and Drainage (Jabatan Pengairan dan Saliran Malaya) yang ditubuhkan pada tahun 1932.
Fasa Pertama bermula pada tahun 1932 sehingga 1937 sepanjang 30.5 km (19 batu) sebahagian besarnya menggunakan tenaga kerja tempatan tanpa bantuan British dan terhenti kerana kekurangan dana menjelang Perang Dunia Ke-2. Fasa Kedua sepanjang 83.6 km (52 batu) bermula selepas perang pada tahun 1945 sehingga tahun 1953. Lembah Sabak Bernam yang disaliri Terusan Ban Kenal ialah seluas 320,000 ekar (50 batu persegi) iaitu bersamaan dua kali keluasan Singapura.
 
Mungkin ramai tidak sedar, pada masa yang sama pihak British sedang merancang pembentukan Malayan Union pada tahun 1946 yang dilihat pada dasarnya membentuk Negeri-Negeri di dalam Semenanjung Tanah Melayu sebagai Persekutuan Malaya tanpa Singapura yang ‘merdeka’ dan akan diketuai oleh seorang Gabenur lantikan British. Namun usaha tersebut bakal melucutkan kuasa Kesultanan Melayu di Persekutuan Malaya. Strategi perubahan dasar yang dilihat cuba ‘mengambil hati’ masyarakat Melayu tersebut, berkemungkinan besar mendorong pembabitan pentadbiran British ‘membiayai’ projek tersebut. Dengan rahmat Allah Maha Besar, pembentukan Malayan Union tidak terjadi dan kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu bersama Singapura, Sabah dan Serawak menghadirkan kemerdekaan kita pada tanggal 31hb. Ogos, 1957. Tersemat satu realiti yang pahit di sebalik cara kemerdekaan Tanah Air yang tercinta kita tercapai tapi ianya akan dibicarakan dalam lembaran yang lain.
 
Pada hari ini, dengan usaha, kerajinan dan perpaduan komuniti tempatan yang majoritinya terdiri dari pelbagai etnik Melayu, telah membuktikan Lembah Terusan Ban Kenal, Sabak Bernam semakin makmur membentuk sebahagian jelapang padi Negeri Selangor. Dengan sokongan pihak Kerajaan Malaysia hari ini, kawasan ini semakin terkenal bukan saja sebagai hub pertanian tetapi menjadi destinasi pelancongan agro-makanan yang semakin popular. Semoga kemakmuran Negara Malaysia dilindungi Allah Yang Maha Kuasa.
 
ASAS RUJUKAN ARTIKEL
Rujukan Pertama:
Artikel ini digarap dengan merujuk kepada sebuah tesis yang ditulis di dalam Bahasa Inggeris oleh En. Lim Teck Ghee bagi menyempurnakan Ijazah Dokto falsafah beliau beliau ialah ‘PEASANT AGRICULTURE IN COLONIAL MALAYA: Its Development in Perak, Selangor, Negri Sembilan and Pahang, 1874 – 1941’.
 
Rujukan Kedua:
Artikel ini turut digarap dengan merujuk kepada tulisan Mr. Teruo Sekimoto di dalam Bahasa Inggeris yang diterbitkan oleh Southeast Asian Studies, Vol. 32, No. 2, September 1994 yang bertajuk ‘PIONEER SETTLERS AND STATE CONTROL: A Javanese Migrant Community in Selangor, Malaysia’.
KARANGAN:
iPROFILE GrandMaster
. Strategi . Taktikal . Hikmah .