Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) ingin menyeru agar satu GENCATAN POLITIK diambil oleh semua pemimpin parti politik dengan mengenepikan perbezaan politik dan bersama-sama memberikan keutamaan kepada permasalahan yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia terutamanya dikala Malaysia sedang menghadapi krisis Ekonomi, Kesihatan dan Politik  ketika ini.

Dengan keadaan statistik jangkitan Covid-19 pada hari ini masih berada di kedudukan yang kritikal iaitu jumlah kes baharu seramai 15,769 orang dan angka kematian pula seramai 219 orang, diharapkan agar semua pemimpin politik haruslah berjiwa besar dan mengenepikan perbezaan politik buat sementara waktu dan bersatu hati membantu Kementerian Kesihatan Malaysia di dalam memerangi penularan pendemik COVID 19 sehingga membolehkan sektor ekonomi dibuka seperti sediakala.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) ingin menyarankan agar usaha ditumpukan bagi memulihkan segera tahap ekonomi rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 yang bergelut dengan masalah aliran tunai akibat dibuang kerja  oleh majikan yang terpaksa gulung tikar terutamanya syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana. Ini dibuktikan melalui perangkaan terkini Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu kadar pengangguran menjangkau seramai 742,700 orang atau pada pada kadar 4.6 peratus April lalu.

Menurut kaji selidik yang dibuat oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada Jun 2021, lebih 90 peratus usahawan mikro, kecil, sederhana dan informal atau tidak berdaftar berisiko untuk menutup perniagaan sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara berterusan. DPMM memandang serius tentang perkara ini.

Pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menumpukan kepada strategi untuk keluar dari ancaman COVID-19 secara selamat dan sistematik adalah satu langkah yang patut disokong oleh semua pihak. DPMM menyokong usaha pihak kerajaan untuk meringankan beban ke atas kapasiti sistem kesihatan awam, membuka semula sektor ekonomi, dan membenarkan aktiviti sosial dalam tempoh masa enam bulan sehingga akhir tahun ini.

Sebagai kesimpulannya, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) ingin mengulangi gesaan kepada semua pemimpin parti politik agar satu GENCATAN POLITIK dapat dilakukan dengan serta merta agar satu tempoh pemulihan yang bersepadu dapat dilaksanakan dengan berkesan agar ekonomi negara dapat dipulihkan seperti sediakala dan rakyat Mapaysia dapat menjalani kehidupan seperti rakyat negara-negara yang telah berjaya keluar dari kemelut pandemik COVID-19 ini.

Sekian, terima kasih.

ABDUL HALIM HUSIN
PRESIDEN
DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA